Rombongan RADIG 2 Ke Gaza Dikejutkan Letupan Bom

Diterbitkan: Jumaat, 19 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peserta rombongan Ramadan Di Gaza (RADIG 2) kelolaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dikejutkan dengan letupan kuat yang menggegarkan hotel yang mereka huni di tengah-tengah bandaraya Gaza pada jam 1 pagi waktu tempatan.

Ketika itu ramai peserta berada di bilik masing-masing dan di ruang legar hotel untuk menggunakan khidmat internet.

Suasana menjadi kelam-kabut apabila buat pertama kali mereka mendengar letupan bom begitu kuat seolah-olah ia berada di atas kepala masing-masing.

Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Agung MAPIM yang juga Ketua Misi RADIG 2 berkata, daripada hotel mereka dapat melihat sendiri kepulan asap dan api menyala terang dan sejurus kemudian kedengaran bunyi siren ambulans dan pasukan bomba menuju ke tempat kejadian.

Mereka kemudiannya diberitahu bahawa letupan itu berlaku akibat serangan udara tentera Israel, menerusi e-mel.

Beliau menambah, kesemua 33 anggota misi RADIG 2 termasuk Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang berada di Gaza sejak 17 Ogos lalu berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga, urusetia RADIG 2 mengadakan taklimat tergempar bagi menerangkan situasi sebenar dan langkah keselamatan yang perlu diambil tidak berapa lama selepas kejadian awal pagi itu.

Katanya kewaspadaan semua anggota misi dipertingkatkan untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau juga berharap keluarga dan sanak saudara anggota misi bertenang, bersabar dan mendoakan keselamatan semua.

Jadual yang diatur semalam untuk peserta RADIG 2 termasuk merasmikan Masjid An-Nasr di Beit Hanoun di utara Gaza yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari sempadan Gaza-Israel.

Namun katanya, urusetia RADIG 2 masih menantikan arahan daripada pihak berkuasa Gaza untuk meneruskan acara tersebut atau sebaliknya.

Masjid yang dibina semula itu adalah sebahagian daripada hasil dana yang telah dikumpulkan MAPIM sebagai salah satu projek pemulihan Gaza oleh rakyat Malaysia.

Sementara itu, pada sebelah pagi sehari sebelum kejadian serangan tentera Israel, jadual anggota RADIG 2 MAPIM padat dengan kunjungan dan perbincangan dengan beberapa kementerian bagi menjalinkan kerjasama dan bertukar-tukar fikiran terhadap kegiatan yang boleh diusahakan bersama.

Antara kementerian yang dikunjungi adalah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Kunjungan ke pejabat Menteri Kesihatan Gaza, Dr Basem N. Naim menyaksikan suatu kenyataan persefahaman dimeterai antara MAPIM dan Kementerian Kesihatan GAZA mengenai pembinaan Hospital Kanak-Kanak dan Materniti Gaza.

Pada sebelah malamnya, anggota RADIG 2 menghadiri majlis berbuka puasa meraikan juara Pertandingan Hafiz Quran dan Tafsir yang dirasmikan Perdana Menteri Gaza, Ismail Abdul Salam Hanneiy sebelum menunaikan solat tarawih yang diimamkan Perdana Menteri Gaza itu sendiri di masjid di perkampungan pelarian tertua yang dihuni beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan