Tiga Rakyat India Disyaki Militan Diserah Kepada Polis India - Berita Semasa | mStar

Tiga Rakyat India Disyaki Militan Diserah Kepada Polis India

Diterbitkan: Khamis, 18 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki rakyat India yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 4 Ogos lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan Babbar Khalsa International (BKI) yang berpengkalan di India telah diserahkan kepada pihak berkuasa India pada Selasa lepas (16 Ogos).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan di sini hari ini berkata ketiga-tiga mereka ialah Amarjit Singh Jasvir Singh, 28, Daljit Singh Ajaib Khalsa, 37, dan Kawal Singh Soundh, 39.

Beliau berkata siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu terlibat memberi bantuan logistik kepada operatif-operatif kanan kumpulan BKI tersebut di India yang terlibat dalam kegiatan keganasan di negara tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi penahanan kesemua suspek kecuali menyebut kawasan Kuala Lumpur dan Selangor sebagai lokasi terakhir suspek.

Ketika berada di negara ini, suspek bekerja sebagai pengusaha restoran, guru muzik dan kontraktor binaan di sekitar Selangor dan ibu negara, katanya.

Menurut carian Wikipedia, BKI adalah satu kumpulan militan yang digerakkan oleh askar bersenjata kaum Sikh di India sejak 1978 sejurus selepas berlakunya pembunuhan sejumlah kaum Sikh oleh golongan (sect) Nirankari.

Kumpulan BKI ini melakukan banyak siri keganasan dan pengeboman di negara itu dengan agenda untuk membela nasib kaum itu yang kononnya ditindas.

Kumpulan ini juga telah dikategorikan sebagai organisasi pengganas di beberapa buah negara termasuk India, Kanada, Amerika Syarikat dan Britian. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan