Jawatankuasa Khas Parlimen: Pakatan Rakyat Masih Tidak Puas Hati

Diterbitkan: Khamis, 18 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan cara pembentukan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi membincangkan mengenai pembaharuan pilihan raya yang didakwa dilaksanakan kerajaan dengan tergesa-gesa.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, mereka juga kesal kerana tidak dipanggil untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.

"Kami amat kesal dengan cara penubuhan jawatankuasa itu. Sepatutnya perkara itu dirunding bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tetapi segala keputusan dilakukan secara sehala.

"Kami nak tahu terma rujukan, siapa yang akan mengetuai jawatankuasa itu, berapa orang yang akan terlibat dan tempoh masa yang diberikan untuk melaksanakan pembaharuan pilihan raya... Jika tidak kami tidak tahu gambaran sebenar," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Kabinet pada Rabu memutuskan Jawatankuasa Pemilih Parlimen akan dianggotai sembilan Ahli Parlimen bagi membincangkan mengenai reformasi pilihan raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sembilan ahli jawatankuasa berkenaan terdiri daripada lima wakil Barisan Nasional (BN), pembangkang (tiga) dan Ahli Parlimen Bebas (seorang).

Usul bagi penubuhan jawatankuasa khas berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen Oktober ini.

Menurut Salahuddin, kerajaan sepatutnya menjemput komponen Pakatan Rakyat untuk menyertai mesyuarat berhubung pembentukan jawatankuasa yang diwujudkan bagi memastikan sistem pilihan raya telus dan adil di negara ini.

"Kami masih menunggu jemputan kerajaan untuk turut serta dalam rundingan itu. Kami sedia melontarkan pandangan demi kepentingan negara dan rakyat," ujarnya.

Ketika ditanya siapa tiga wakil yang akan dipilih pembangkang untuk menganggotai jawatankuasa itu, jelasnya, perkara itu akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

"Kami akan tentukan siapa yang akan mewakili ketiga-tiga parti ini dalam mesyuarat itu nanti... setakat ini kami belum buat apa-apa keputusan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pembangkang tidak berprasangka buruk terhadap komitmen kerajaan itu, kata Salahuddin, pembangkang tidak bersikap sedemikian.

"Kami sedia beri pandangan berhubung pembaharuan sistem pilihan raya, jadi isu prasangka buruk tidak perlu timbul," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan