9 Ahli Jawatankuasa Pemilih Parlimen Tentukan Reformasi Sistem Pilihan Raya

Diterbitkan: Rabu, 17 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kabinet pada Rabu memutuskan Jawatankuasa Pemilih Parlimen akan dianggotai sembilan Ahli Parlimen bagi membincangkan mengenai reformasi pilihan raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sembilan ahli jawatankuasa berkenaan terdiri daripada liwa wakil Barisan Nasional (BN), pembangkang (3) dan Ahli Parlimen Bebas (1).

Selain itu beliau berkata, usul bagi penubuhan jawatankuasa khas berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyediakan rangka kerja secara terperinci mengenai peranan jawatankuasa itu.

"Saya diminta jemaah menteri supaya berhubung dengan SPR untuk berbincang berkenaan rangka kerja jawatankuasa ini dan kalau mengikut prosedurnya maka satu usul akan disediakan.

"Harapan kita supaya pada 3 Oktober ini kerajaan akan dapat membawa usul untuk membentuk jawatankuasa khas ini supaya mereka boleh terus menjalankan tanggungjawab.

"Sekarang ini parti-parti politik sudah boleh tentukan wakil-wakil mereka untuk menganggotai jawatankuasa itu nanti," katanya pada sidang media di Parlimen, Rabu.

Tambah beliau, kerajaan juga berharap jawatankuasa berkenaan dapat mengemukakan cadangan mengenai penambah baikan sistem pilihan raya untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen tahun depan.

"Kerajaan jangka kalau boleh pada sesi akan datang tahun depan, kita bukan sahaja bentang tapi kalau perlu membuat pindaan kepada akta sekarang seperti yang dicadangkan oleh jawatankuasa ini.

"Kalau sempat kita sudah boleh sediakan pindaan kepada undang-undang sekarang atau akta baru. Ia perlu dijadikan sebagai undang-undang baru boleh dilaksanakan," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut yang akan dianggotai wakil BN dan parti pembangkang untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Najib berkata jawatankuasa yang akan dibentuk dalam waktu terdekat itu adalah tindak balas proaktif kerajaan BN bagi menangani pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai pendapat serta polemik.

Dalam pada itu Mohamed Nazri berkata, pihak kerajaan berharap jawatankuasa itu nanti akan dapat memperhalusi mengenai pandangan beberapa pihak termasuk penggunaan sistem biometrik dan dakwat kekal.

"Selain itu mungkin boleh diperhalusi sama ada perlu perarakan semasa hari penamaan calon, apakah hari pencalonan nak dilakukan seperti yang kita lakukan sekarang atau mahu ikut cara di United Kingdom di mana pencalonan berlaku macam biasa tanpa perarakan yang boleh cetuskan ketegangan.

"Juga boleh diberi perhatian mengenai isu pengundian awal bagi mereka yang tak boleh mengundi pada hari pembuangan undi dan termasuk cadangan agar membenarkan mereka yang mendaftar sebagai pengundi boleh mengundi masa hari pengundian walaupun mereka berada di luar negara," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan mendapatkan pandangan pihak luar termasuk Suruhajaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Mohamed Nazri berkata kumpulan berkenaan boleh terlibat apabila jawatankuasa berkenaan mengadakan sesi pendengaran awam.

"Kita akan ambil maklum balas semua pihak, saya percaya bila sudah ada jawatankuasa khas ini mereka akan menjelajah mengadakan sesi pendengaran awam.

"Kalau NGO, mereka bukan ahli Parlimen. Ini jawatankuasa Parlimen, jadi mereka tidak ada hak untuk berada dalam jawatankuasa ini. Cuma penglibatan mereka waktu pendengaran awam nanti," katanya.

Berhubung tuntutan pembangkang agar jawatankuasa khas tersebut diketuai oleh mereka, Mohamed Nazri berkata perkara berkenaan bukan menjadi amalan di negara ini.

Tambahnya isu sama ada jawatankuasa ini boleh dipertikaikan tidak timbul kerana keputusan yang akan dibuat tetap mengikut suara majoriti.

"Perkara ini remeh sangat, memang amalan itu tidak berlaku. Kalau mereka pengerusi pun, kalau tak dapat persetujuan ahli jawatankuasa, mereka tak boleh buat apa.

"Sama juga bila kerajaan jadi pengerusi pun, akhirnya keputusan yang dibuat sebulat suara juga," katanya.

Menurutnya lagi, secara lazimnya jawatankuasa khas Parlimen akan dipengerusikan oleh seorang menteri bagi memudahkan urusan pentadbiran termasuk penggunaan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi tujuan tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan