Tindakan Tegas Akan Diambil Terhadap Pemandu Bas Sekolah Cuba Mogok:SPAD

Diterbitkan: Selasa, 16 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bas sekolah yang merancang melancarkan mogok.

Mogok itu dikatakan dirancang pengusaha bas sekolah di Georgetown, Pulau Pinang selepas Aidil Fitri bagi membantah polisi yang menghalang kenderaan berusia lebih 30 tahun beroperasi.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan pada Isnin berkata polisi itu telah wujud sejak 2009, dan selepas suruhanjaya tersebut mengambil alih Lembaga Pengangkutan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 31 Jan lepas, tidak ada sebarang pindaan dilakukan.

Beliau berkata pihaknya juga bertemu pengusaha bas bagi menjelaskan bahawa keselamatan penumpang merupakan aspek terpenting yang perlu diberi perhatian.

"Walau bagaimanapun, tahun ini, para pengusaha diberikan lanjutan permit selama setahun dari tarikh luput mereka untuk mengganti bas yang telah lebih usia ini.

"Namun lanjutan permit ini adalah tertakluk kepada tahap keselamatan bas terbabit, dan pemeriksaan Puspakom yang mengesahkan bas tersebut selamat untuk digunakan dari segi teknikal," katanya.

Syed Hamid berkata SPAD juga mengkaji satu mekanisme bagi membantu pengusaha untuk melabur semula dan menukar bas sekolah dalam tempoh yang ditetapkan.

"Buat masa ini, pengusaha dapat menukar bas sekolah yang usianya tidak lebih dari 20 tahun yang mampu dimiliki mereka," katanya.

Beliau berkata memandangkan objektif SPAD adalah menyediakan kemudahan pengangkutan darat yang efisyen, boleh diharap dan selamat, maka SPAD tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan kanak-kanak sekolah, terutama dengan menggantung atau membatalkan permit mereka.

Syed Hamid berkata pengusaha bas sekolah juga harus berubah seiring kemajuan yang diharapkan, antaranya dari segi pengangkutan darat dalam usaha menjadikan Malaysia negara maju.

Merujuk Amerika Syarikat dan Singapura, beliau berkata kedua-dua negara hanya membenarkan had usia bas beroperasi masing-masing selama 15 dan 20 tahun.

Selain itu, pengusaha bas sekolah yang bermasalah dipelawa berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik dengan SPAD bagi memastikan keselamatan penumpang diberi keutamaan, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan