Rakyat Malaysia Terus Pilih London Sebagai Destinasi

Diterbitkan: Selasa, 16 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak gusar ke London walaupun rusuhan melanda bandar raya berkenaan baru-baru ini.

Beberapa agensi pelancongan memberitahu, sambutan pakej pelancongan ke Britain selepas rusuhan terburuk melanda negara itu hujung minggu lalu.

Pengurus Jualan Bestour & Travel Sdn Bhd, Lena Wee berkata, tempahan tiket dan pertanyaan mengenai pakej pelancongan ke London tidak sedikitpun terjejas akibat insiden itu.

"Tawaran bermula Jumaat kebanyakannya melibatkan tempahan pada September hingga hujung tahun ini kerana rakyat di negara ini ingin menikmati cuti musim sejuk di sana.

"Namun pada Ogos kebiasaannya tempahan tidak begitu tinggi, hanya golongan usahawan yang berlepas ke sana atas urusan perniagaan.

"Sehingga hari ini, masih ada yang menempah tiket ke London," katanya ketika ditemui mStar Online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Lena, pihaknya yang menawarkan penerbangan Etihad dan Emirates menerima tempahan tertinggi daripada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di London pada bulan depan.

"Boleh dikatakan bulan depan merupakan waktu puncak untuk penerbangan ke London menerusi agensi pelancongan kami. Pada waktu itu, pelajar kembali ke universiti masing-masing selepas cuti musim panas," ujarnya.

Berdasarkan permintaan daripada pengunjung, Lena berkata, ramai rakyat di negara ini yang tidak bimbang untuk meneruskan niat mereka melancong ke sana kerana laporan media mendedahkan keadaan sudah kembali terkawal.

"Kebanyakan pelancong berlepas bulan depan. Tempoh itu masih lama dan mereka yakin keadaan akan pulih dalam waktu terdekat," tambahnya.

Bagi Eksekutif Pemasaran Roystar Travel & Tours Sdn Bhd, Hazim Nazmi, permintaan pakej pelancongan ke London tetap mendapat sambutan menggalakkan.

"Sepanjang hari ini, saya ada menerima tempahan daripada dua keluarga yang ingin melancong ke London pada hujung tahun ini. Pertanyaan mengenai pakej pelancongan ke London masih lagi ada terutamanya pada awal tahun depan," katanya.

Jelas Hazim, isu kemerosotan jualan tidak timbul kerana ada segelintir pelancong yang menjadikan London sebagai destinasi terakhir untuk dikunjungi selepas melancong ke negara terkemuka seperti Perancis dan Sepanyol.

"Keadaan di sana sudah terkawal, jadi saya rasa pelancong mula yakin untuk berkunjung ke London...lagipun ramai anggota polis dikerahkan untuk memantau tahap keselamatan pelancong mahupun penduduk di negara itu," katanya.

Tambahnya, pada tahun ini pakej pelancongan ke Jepun menunjukkan permintaan luar biasa meskipun negara itu masih dalam keadaan berjaga-jaga akibat ancaman tsunami.

"Saya percaya harga pakej yang murah dan berbaloi mendorong kepada permintaan itu terutamanya di kalangan pasangan suami isteri yang baru berkahwin," ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Pengurus Pembangunan Produk (Pelancongan) TH Travel & Services Sdn Bhd, Norzana Yahya, berpendapat rusuhan itu turut memberi impak kecil terhadap pakej pelancongan ke London yang ditawarkan agensinya.

"Kami hanya mendapat pertanyaan dan masih belum menerima tempahan untuk pakej pelancongan ke sana pada bulan ini. Mungkin ada yang bimbang dan ragu-ragu mengenai keadaan rusuhan di sana," katanya.

Bagaimanapun, Norzana memberitahu tempahan ke London pada hujung tahun amat memuaskan kerana ia adalah waktu terbaik untuk membawa keluarga melancong ke Eropah.

Katanya, pada ekspo kali ini, ramai pengunjung membuat tempahan melancong ke negara seperti Indonesia, Singapura dan Australia kerana destinasi itu lebih selamat.

Pameran MATTA FAIR 2011 yang bermula pada Jumaat hingga Ahad ini di sini mencatat sejarah tersendiri apabila mendapat penyertaan kira-kira 945 gerai.

Pelbagai tawaran pelancongan dalam negara mahupun luar negara boleh diperolehi dalam harga jauh lebih murah dan berbaloi untuk wang ringgit anda.

Jadi tidak hairanlah ekspo itu dibanjiri ribuan pengunjung yang ingin merebut peluang menikmati kadar percutian yang murah dan hebat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan