Pembentukan Jawatankuasa Bukan Bermakna Sistem Pilihan Raya Tidak Baik

Diterbitkan: Selasa, 16 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pembentukan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk membincangkan reformasi pilihan raya bukan bermakna sistem pilihan raya yang sudah digunapakai selama ini tidak baik tetapi sebaliknya untuk memperkukuhkannya lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keputusan-keputusan pilihan raya sebelum ini tidak akan dipertikaikan yang kesemuanya dijalankan dengan telus, cuma ia akan diperbaiki berikutan minat kumpulan dalam masyarakat yang mahu supaya ia dilakukan.

"Dan itu juga diakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mana perlu mereka memperkemaskan senarai daftar pemilih, memperkukuhkan cara undian dijalankan, undi pos, jadi itu proses yang sudah berjalan.

"Dengan adanya jawatankuasa, itu akan diambil kira dan jika ada perakuan yang mereka nak buat, mereka akan kemukakan supaya SPR dapat mengambil langkah sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di sini, Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut yang akan dianggotai wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Najib berkata jawatankuasa yang akan dibentuk dalam waktu terdekat itu adalah tindak balas proaktif kerajaan BN bagi menangani pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai pendapat serta polemik.

Muhyiddin berkata pembentukan jawatankuasa itu juga jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan BN dan sependapat dengan banyak pihak tentang perlunya ada satu sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

"Jadi, bukan satu tuntutan pihak pembangkang sahaja. Jika kita mahu pilihan raya itu berjalan dengan bersih dengan cara yang adil dan kita mahu dipilih sebagai kerajaan atas dasar yang saksama, dengan keputusan itu bermakna kita mengamalkan sikap yang telus.

"Kita mengambil pandangan dengan serius. Jadi, pastinya ahli-ahli parlimen yang terpilih daripada kerajaan dan pembangkang yang dikatakan akan bersidang dalam tempoh terdekat, mereka akan melihat aspek-aspek tertentu dari segi apa yang ada dalam sistem sekarang dan bagaimana cara untuk diperkemaskan dan diperbaiki," katanya.

Beliau berkata langkah itu akan melibatkan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk SPR dan dengan muafakat daripada semua pihak, pastinya sistem pilihan raya boleh diperkukuhkan lagi.

Mengenai kenyataan Najib bahawa kerajaan akan mengkaji semula dasar penapisan media selaras dengan perkembangan lanskap dan persekitaran semasa, Muhyiddin berkata sebagai pengamal media, mereka perlu mengamalkan etika yang tinggi.

Beliau berkata golongan itu tidak seharusnya menggunakan hak dan kebebasan yang diperoleh untuk membuat sesuatu yang boleh memudaratkan masyarakat, menimbulkan ketegangan sosial atau memberi kesan buruk terhadap hubungan antarabangsa dan kaum.

Katanya mereka harus berpandukan kepada prinsip dan lunas serta asas yang berasaskan kepada etika, moral, akhlak dan sebagainya.

"Dalam dunia yang dikatakan tanpa sempadan di mana banyak laporan berita dikeluarkan bukan sahaja menerusi saluran rasmi tetapi juga alam maya, maka agak sukar bukan sahaja kerajaan Malaysia tetapi juga negara lain untuk mengambil tindakan untuk mengawal.

"Ini kerana soal kebebasan sekarang ini sudah merupakan hak individu bukan lagi menjadi hak institusi atau negara," katanya.

Beliau berkata sistem pemantauan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan kerajaan perlu sentiasa peka supaya hak kebebasan untuk berkomunikasi di alam maya tidak mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Katanya jika jelas terbukti terdapat pengamal media berbuat sesuatu yang boleh dilihat sebagai melanggar mana-mana apsek perundangan, keselamatan dan sebagainya, ia juga tidak terkecuali daripada menghadapi tindakan undang-undang.- BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan