Najib Mahu Warga Felda Kuasai Ilmu, Teknologi Dalam Fasa Pembangunan

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Warga Felda perlu menguasai ilmu dan teknologi di dalam fasa pembangunannya bagi memastikan ia berkemampuan menangani cabaran-cabaran pada masa kini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahad.

Beliau berkata kegagalan menguasai ilmu dan teknologi boleh menyebabkan Felda mengalami nasib yang sama sebagaimana yang menimpa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka 500 tahun dahulu apabila ia dijajah oleh kuasa asing.

"Esok pada 15 Ogos, genaplah 500 tahun kerajaan Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis. Kita perlu menjadikan peristiwa itu sebagai iktibar," katanya ketika berucap pada majlis Rahmat Ramadan di Felda Ayer Tawar 2, di sini.

Katanya kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511 disebabkan dua faktor iaitu ketidaksetiaan serta kegagalan kesultanan dalam menguasai ilmu dan teknologi peperangan moden ketika itu.

Perdana Menteri berkata Melaka masih menggunakan persenjataan seperti tombak dan keris dalam usahanya untuk memerangi kekuatan bala tentera Portugis yang menggunakan meriam dan persenjataan terkini pada waktu itu.

Yang turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 7,000 warga Felda itu termasuk Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Najib berkata Felda telah mencapai banyak kejayaan pada ketika ini dan warganya menikmati pelbagai pembangunan hasil perancangan teliti yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau memberitahu perasaan gembiranya ketika melawat sebuah rumah milik peneroka di Felda Tunggal pada sebelah petang, yang merupakan bukti jelas kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh warga agensi pembangunan tanah itu.

Katanya rumah banglo milik peneroka itu jika dinilaikan di Kuala Lumpur berharga lebih daripada RM1 juta.

"Kejayaan Felda dan kemajuan yang dinikmati oleh warganya disebabkan kesetiaan dan sokongan terhadap usaha-usaha kerajaan. Kerajaan mempunyai perancangan yang teliti dalam usahanya untuk memastikan Felda terus maju," katanya.

Kejayaan dan kemajuan Felda, katanya, telah membolehkan agensi itu membayar gaji kepada 23,000 kakitangannya, bonus, duit raya serta memberi pinjaman sebanyak RM40,000 tanpa faedah kepada warganya untuk memperbaiki rumah mereka.

Perdana Menteri berkata pembayaran duit raya Felda kepada warganya pada tahun ini mencecah peruntukan RM42 juta, sekolah-sekolah agama di tanah rancangan Felda diberi bantuan kewangan sebanyak RM50,000.

Najib juga menyifatkan sebagai 'gimik politik' janji-janji yang ditabur oleh pembangkang kepada warga Felda jika ia berkuasa dan menganggapnya sebagai 'umpan' bagi mendapatkan undi daripada warga Felda.

"Ia hanya 'political gimmick' oleh pembangkang, sama seperti janji mereka untuk menubuhkan kerajaan pada 16 Sept 2008, tetapi saya berkeyakinan warga Felda 'tidak lut' dengan gimik pembangkang," katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis yang sama, Abdul Ghani meminta para peneroka hari ini dan generasi pengganti supaya mempertahankan semangat 'penerokaan' bagi membolehkan Felda terus mengorak langkah cemerlang.

Abdul Ghani berkata budaya muafakat yang dipupuk oleh masyarakat Felda merupakan penentu kejayaan pada hari ini dan akan datang yang mencakupi pelbagai aspek.

"Masyarakat Felda telah melalui tempoh pembangunan hingga berjaya. Inilah satu kelompok masyarakat yang melalui transformasi yang besar. Inilah contoh kita (kerajaan) berjaya membangunkan masyarakat.

"Ada yang asalnya datang dari kampung dengan tekad melalui proses penerokaan dan hari ini masyarakat Felda telah menjadi keluarga kelas menengah yang kukuh di negara ini walaupun berada jauh dari bandar," katanya.

Abdul Ghani berkata beliau percaya masyarakat Felda dalam masa yang sama sentiasa bersyukur dan berterima kasih atas pembangunan yang dinikmati melalui pelbagai rancangan yang dibangunkan kerajaan.

Merujuk kepada Kota Tinggi, beliau berkata 29 kawasan felda di daerah berkenaan melibatkan 10,000 keluarga telah melalui pelbagai transformasi sejak kesemua felda itu diwujudkan 30 hingga 40 tahun lepas.

Beliau berkata Felda Semenchu, Belitong, Kledang dan Tunggal menunjukkan kejayaan yang besar dalam tempoh empat tahun ini selepas menjadi juara anugerah 'Felda Ceria' di peringkat kebangsaan. Katanya Felda Air Tawar Dua, yang dikunjungi Perdana Menteri pada Ahad pula pernah menjadi Naib Johan 'Felda Ceria' di peringkat kebangsaan pada tahun 1982. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan