Kerajaan Kaji Penapisan Media Selaras Landskap Semasa

Diterbitkan: Isnin, 15 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji cara mengendali penapisan media selaras dengan perkembangan landskap dan persekitaran semasa.

Perdana Menteri berkata langkah itu diambil supaya kerajaan tidak dilihat sebagai tidak memahami atau tidak relevan dalam menangani isu penapisan media.

Pada masa sama, katanya, kerajaan akan menjawab dakwaan dalam media tempatan atau antarabangsa dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sekiranya dakwaan itu bersifat fitnah.

"Umpamanya, kalau kita nak lakukan penapisan dalam era yang baru ini, dalam landskap yang baru ini, harus kita tanya apakah penapisan itu berkesan ataupun tidak, adakah ia relevan, adakah ia berkesan?

"Pada mulanya adakah ia bermakna...dan sama sebarang bentuk penapisan itu sebenarnya merugikan daripada menguntungkan kita," katanya semasa berucap pada majlis Berbuka Puasa bersama media anjuran Bernama di Wisma Bernama Isnin.

Sebagai contoh, katanya, tindakan penapisan terhadap ruang berita mengenai Malaysia dalam majalah `The Economist' telah menjadi berita yang lebih besar daripada berita sebenar yang disiarkannya baru-baru ini.

"Jadi, adakah langkah seperti ini perlu kita lakukan? saya fikir tak perlu lagi. Jika media antarabangsa mahu mengkritik kita...biarkan saja, jika perlu, kita libatkan mereka, kita beri berita bagi pihak kita dan jika mereka melebihi batasan, barulah kita menyelesaikannya melalui undang-undang, membuat fitnah merupakan satu daripada (usaha menyelesaikannya) melalui perundangan," katanya.

Najib juga memberikan contoh kes Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memenangi saman fitnah ke atas seorang blogger tempatan baru-baru ini.

"...dan itu merupakan contoh terbaik di mana kita dapat menyelesaikannya. Jika media menerbitkan berita yang memfitnah barulah kita perlu ambil tindakan undang-undang tetapi usaha menapis bukan lagi cara berkesan dan ia perlu dikaji semula dan kerajaan akan mengkaji dasar kita dalam penapisan," katanya.

Menurutnya persekitaran dan landskap semasa sudah berubah kerana tiga unsur yang membawa kepada perubahan yang agak radikal iaitu ledakan teknologi maklumat yang masih berlaku, fenomena globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan serta taraf pendidikan rakyat yang semakin tinggi.

Perdana Menteri berkata media sememangnya satu wahana yang amat penting dan pengamal media mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyampaikan berita, maklumat yang benar, tepat dan kena pada masanya.

"Bagi kita yang menjalankan pentadbiran kerajaan, kita juga bergantung kepada media kerana satu daripada tanggungjawab kita ialah untuk menjadikan kerja-kerja kita dapat diterima dengan baik oleh rakyat," katanya.

Beliau berkata komunikasi berkesan bukan sahaja secara konvensional tetapi pendekatannya perlu mengambil kira perubahan persekitaran dan landskap yang sedang dihadapi pada masa ini.

Beliau berkata perubahan besar yang perlu ditangani kini ialah realiti yang dipandang tidak sama berbanding persepsi.

"Kadang kala kebenaran itu tidak seberapa bila dipandang berbanding dengan persepsi, maknanya kadang-kadang, barangkali bukan kadang-kadang, tetapi sudah menjadi satu realiti bahawa perang persepsi malah lebih besar daripada benar dan realiti," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak mereka Norashman Razak dan Nooryana Najwa. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan