Ops Sikap Ke-24 Guna Pendekatan Berbeza

Diterbitkan: Ahad, 14 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ops Sikap ke-24 yang akan dijalankan pada 22 Ogos ini akan menggunakan pendekatan yang berbeza daripada Ops Sikap yang sebelumnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pendekatan yang digunakan kali ini akan melibatkan perubahan dari segi strategi dan akan diumumkan pada 22 Ogos ini.

"Perubahan yang dilakukan itu adalah bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut di samping memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutamanya menjelang musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Mesra 1Malaysia, di sini Sabtu.

Dalam majlis anjuran Hata Industry itu, sumbangan diberikan kepada lima anggota polis yang mempunyai anak kurang upaya serta yang terlibat dengan kemalangan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berhubung sindiket penjualan senjata api tiruan yang berjaya ditumpaskan di sebuah kediaman mewah Park Ville Garden House di Petaling Jaya, beliau mencadangkan syarikat-syarikat kurier perlu mewujudkan sistem alat pengimbas bagi mengesan barangan yang dibawa masuk dan dihantar keluar seperti yang digunakan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

"Sistem alat pengimbas ini digunakan bertujuan untuk mengesan kandungan barangan. Jika barangan seperti senjata api tiruan ini berjaya dibawa masuk, tidak mustahil mercun serta barang-barang berbahaya lain juga boleh dibawa masuk," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan