Ibu Pelajar Malaysia Dibelasah Di London Mahu Segera Ke UK

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Rossli yang cedera dalam rusuhan di London baru-baru ini mahu segera ke ibu kota United Kingdom itu untuk melihat sendiri keadaan anaknya.

Maznah Abu Mansoor yang terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya bagaimanapun bersyukur kerana Muhammad Asyraf selamat.

“Saya memang terkejut mula-mula dapat panggilan daripada pihak Mara, Isninlepas memaklumkan anak saya cedera.

“Pada mulanya saya ingatkan dia kena pukul dengan samseng tetapi selepas itu pihak Mara beri nombor Kelab Umno di London minta saya hubungi. Selepas saya hubungi barulah mereka maklumkan anak saya cedera dipukul dalam satu rusuhan.

"Saya betul-betul bimbangkan keadaan anak saya ketika itu,” katanya dalam nada sebak kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Umno di Menara Dato’ Onn di sini, Khamis.

Muhammad Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan, mengalami patah gigi dan cedera di rahang apabila diserang dan disamun sekumpulan lelaki yang dalam rusuhan Isnin lepas di London.

Rusuhan bermula di London beberapa hari lalu selepas seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Tottenham, utara London dan merebak ke banyak bandar termasuk Birmingham, Liverpool, Bristol dan Manchester.

Berhubung perkembangan terkini anaknya, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, Muhammad Asyraf ada menelefonnya sebelum menjalani pembedahan bagaimanapun perbualan mereka tidak panjang kerana keadaan anaknya yang tidak mengizinkan ketika itu.

“Muhammad Asyraf ada menelefon beberapa jam sebelum dia menjalani pembedahan tetapi suara tidak jelas sebab rahang dia patah.

“Selepas itu, kami hanya terima pesanan khidmat ringkas (SMS) daripada Wisma Putra pagi tadi selepas sahur yang memaklumkan anak saya telah selamat menjalani pembedahan dan kini dia sedang berehat di hospital,” katanya.

Maznah berkata dia akan berada dalam tempoh kira-kira seminggu di London untuk memastikan Muhammad Asyraf benar-benar pulih sebelum pulang ke tanah air.

“Buat masa ini kami hanya dapat maklumat daripada Wisma Putra, Kelab Umno di London dan keluarga angkat Muhammad Asyraf di sana,” katanya.

Ditanya sama ada dia mahu anaknya pulang dan menyambung pengajian di Malaysia selepas apa yang berlaku, Maznah berkata: “Dia pernah cakap pada saya apa pun yang jadi dia tetap hendak habiskan pengajian di sana terlebih dahulu.”

Sementara itu, ayah kepada Muhammad Asyraf, Rossli Atan, 49, turut melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku terhadap anak sulungnya itu namun dia bersyukur kerana pihak Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Umno sudi membantu mereka dalam memberi maklumat terkini mengenai situasi terkini anaknya di London.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Kelab Umno London, Mohd Faeiz Mohd Ali berkata, kelab tersebut akan menguruskan penginapan serta makan minum keluarga Muhammad Asyraf selama berada di London.

"Sebaik keluarga Muhammad Asyraf tiba di London, ahli Kelab Umno London akan tunggu di lapangan terbang.

"Kami akan uruskan semuanya selama keluarga mereka di London," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan