Gerakan Perlu Kepimpinan Baru Jika Mahu Rampas Pulau Pinang

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Gerakan perlu menukar kepimpinannya dengan menonjolkan muka baru jika mereka serius mahu merampas kembali Pulau Pinang daripada pihak pembangkang, kata seorang Anggota Parlimen bebas negeri itu.

Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim berkata jika Barisan Nasional (BN) mahu mengambil balik Pulau Pinang, Gerakan perlu tonjolkan seorang pemimpin baru yang boleh diterima oleh rakyat dan pemimpin berkaliber bagi mencabar kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Mungkin pemimpin seperti (Presiden Gerakan) Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sudah tidak relevan lagi untuk memimpin Gerakan di Pulau Pinang memandangkan rakyat sudah menolak beliau sejak (pilihan raya umum) 2008," katanya kepada pada sidang berita di sini Khamis.

"(Bahkan) ramai pemimpin di akar umbi sendiri menolak kepimpinan Dr Koh dan menganggap beliau sudah tidak boleh memimpin, ibarat kata orang putih he has overstayed," katanya. Katanya Dr Koh kini dilihat sebagai liabiliti kepada parti dan jika beliau terus dikekalkan, ini bermakna Gerakan tidak mendengar rintihan rakyat yang mahukan perubahan.

Zaharin berkata BN perlu menonjolkan kepimpinan baru bagi mengelakkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu membina'dinasti Lim' di Pulau Mutiara, terutama ketika rakyat Pulau Pinang mahukan kepimpinan baru memandangkan mereka kini di dalam dilema akibat kepimpinan DAP yang didakwa bersikap zalim, tidak adil dan banyak melakukan pembohongan.

Beliau berkata tanpa pemimpin berkaliber daripada BN, Lim akan sentiasa merasa selesa dan tidak mempunyai lawan sebenar dalam mentadbir negeri itu.

"Kita mahu pemimpin yang boleh beri harapan ke tahap yang kita kehendaki iaitu menjadikan negeri ini kembali maju dengan sumber-sumber sedia ada, bukan cara pimpinan sekarang yang hanya menumpang kemajuan kerajaan sebelum ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai nama-nama pemimpin yang berkaliber untuk dijadikan calon sebagai Ketua Menteri, beliau berkata ada ramai dan terdiri daripada pelbagai kaum. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan