Pelajar Malaysia Digalak Kembali Ke UK

Diterbitkan: Khamis, 11 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang dijadual kembali semula untuk meneruskan pengajian mereka di United Kingdom (UK), terutamanya London, selepas cuti musim panas September ini, digalakkan berbuat demikian meskipun berlaku rusuhan di beberapa tempat di London.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Ray Kyles berkata pelajar terbabit dan pelajar baru dinasihati supaya menghubungi pihak berkuasa Malaysia di sini dan di UK untuk mendapatkan perkembangan terkini situasi itu.

"Di sebalik apa yang berlaku, pelajar digalakkan untuk pergi (dan meneruskan pengajian mereka di UK). Keadaan lebih tenang sekarang.

"Kami menugaskan 16,000 anggota polis di jalan-jalan di London dan keadaan kini terkawal," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Tahun akademik baru di UK akan bermula pada pertengahan September.

Kyles berkata pelajar dan pengunjung ke London perlu menjauhkan diri dari kawasan yang dilanda rusuhan.

Bantahan terhadap tindakan polis menembak mati seorang remaja di Tottenham pada hujung minggu lepas mencetuskan rusuhan dan merebak ke beberapa kawasan berhampiran di London.

Mengenai perkembangan berhubung perubahan kepada sistem visa pelajar Tier 4 yang akan mula berkuat kuasa tahun depan, Kyles memberi jaminan bahawa perubahan itu akan membawa kesan yang sedikit terhadap pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian di UK.

Beliau berkata kadar penolakan visa setakat ini pada tahun ini bagi permohonan pelajar adalah satu hingga dua peratus.

"Berita baik bagi Malaysia ialah negara ini telah pun melakar nama yang sangat baik dalam kualiti sebahagian besar pelajarnya di peringkat ijazah dan pasca siswazah, jadi perubahan ini akan membawa kesan yang sedikit.

"Kami sememangnya amat menghargai beribu-ribu pelajar Malaysia yang datang ke UK setiap tahun semata-mata untuk belajar. Selain membangunkan kemahiran dan potensi diri, mereka memberi sumbangan yang sangat besar kepada hayat pendidikan di UK," katanya.

Sekatan terhadap permohonan visa Tier 4 bertujuan membendung penyalahgunaan permit.

Jumlah Tier 4 yang dikeluarkan pada tahun 2009 adalah 5,889 dan meningkat kepada 6,354 pada 2010, katanya.

Beliau berkata jumlah permohonan visa pelajar dari Malaysia juga dijangka meningkat mulai minggu depan.

Kira-kira 13,500 pelajar Malaysia pada masa ini mengikuti pengajian di UK. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan