Serbu Gereja: Laporan JAIS Dijangka Siap Selepas Aidilfitri

Diterbitkan: Rabu, 10 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Laporan penuh berhubung siasatan terperinci mengenai pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) akan siap sepenuhnya selepas Aidilfitri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri difahamkan JAIS mengalami kesulitan mendapatkan keterangan daripada 12 individu Islam yang menyertai upacara 'Thanksgiving' di DUMC kerana telah dinasihatkan oleh peguam masing-masing.

"Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab terhadap 12 orang Islam yang terlibat serta satu salinan barang kes yang telah diperoleh hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh JAIS.

"Apa yang penting JAIS perlu menyiapkan laporan penuh segera, kita jangka selepas hari raya perkara ini dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishammuddin yang mewakili 10 daripada 12 individu Islam yang terlibat.

"Justeru kerajaan negeri, menyerahkan perkara tersebut kepada pakar undang-undang JAIS untuk memberi nasihat yang sepatutnya dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid turut menegaskan bahawa larangan kepada semua Exco supaya tidak membincangkan isu tersebut masih terpakai sehingga arahan baru dikeluarkan.

"Ini bagi memberi JAIS ruang untuk menjalankan tugas mereka dengan tertib serta tanpa sebarang spekulasi.

"Arahan ini tertakluk kepada semua Exco, pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan di Selangor.Ia tidak melibatkan mana-mana individu, pertubuhan bukan kerajaan mahupun parti politik," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan kepada baginda berhubung isu tersebut, Abdul Khalid berkata:

"Saya sudah menghadap Sultan, tapi laporan lengkap daripada JAIS saya belum terima. Jadi, saya tak dapat beri pandangan kepada Sultan berhubung isu ini."

Jelasnya, kerajaan negeri akan memberikan kenyataan serta pendirian mereka selepas laporan daripada JAIS siap sepenuhnya.

"Kerajaan negeri berharap sebelum fakta-fakta ditentukan dengan jelas kita tidak harus terburu-buru membuat sebarang penilaian.

"Apa-apa perbincangan perlulah berasaskan pendekatan wajar dan objektif manakala pandangan sempit politik wajar diketepikan," katanya.

Abdul Khalid berkata, pendekatan tersebut adalah penting untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama khususnya di Selangor dan Malaysia amnya.

Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

JAIS mendakwa, ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan orang Islam.

Mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Isu tersebut menjadi kecoh apabila Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dan menggesa JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa jabatan agama itu.

Abdul Khalid yang melahirkan kekesalannya berhubung insiden itu menyatakan kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara itu dan mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat pelbagai agama selain menghargai usaha meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain.

Beliau turut mengeluarkan arahan melarang mana-mana Exco Kerajaan Negeri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut sehingga siasatan berhubung perkara itu siap dijalankan.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan