JPJ Ambil Pendekatan Berbeza Bertemu Pemandu Bas Ekspres Menjelang Musim Raya

Diterbitkan: Rabu, 10 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Rabu mengambil pendekatan baru bertemu dengan lebih kurang 70 pemandu dari pelbagai operator bas ekspres bagi mendengar pemasalahan mereka sepanjang bertugas pada musim perayaan sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hasan berkata, pendekatan yang berbeza berbanding tahun lalu itu dilakukan kerana jumlah penumpang yang menggunakan bas ekspres untuk balik ke kampung halaman sempena Aidilfitri pada kali ini menunjukkan peningkatan ketara.

"Dengan cara ini, kita dapat bersemuka dan mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi pada musim perayaan kerana pemandu memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan penumpang," katanya dalam majlis bersama pemandu bas ekspres di Depoh Bas Konsortium Transnasional di sini Rabu.

Menurut Solah, pertemuan sedemikian yang bermula di Lembah Klang akan diteruskan oleh operator bas di seluruh negara sebelum Ops Raya bermula 14 Ogos sehingga 14 September ini.

"Perbincangan seperti ini akan diadakan di seluruh negara bermula hari ini kerana keselamatan penumpang perlu diutamakan dalam pada masa berusaha mengurangkan kadar kemalangan pada musim perayaan," katanya.

Antara operator bas yang hadir pada majlis taklimat ini adalah Cepat, Mahligai, Shamisha, Transnasional, Plus Liner dan Nice.

Solah berkata, kadar kemalangan melibatkan bas meningkat daripada 8,679 kes pada 2009 kepada 9,096 kes tahun ini.

"Oleh itu, pendekatan ini perlu dilakukan bagi memohon kerjasama daripada pemandu untuk setidak-tidaknya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," ujarnya.

Tambah beliau, sikap segelintir penumpang yang mengemukakan aduan tidak berasas turut memberi tekanan kepada pemandu ketika menjalankan tugas mereka pada musim perayaan ini.

"Ada yang bertanya kepada pemandu pukul berapa akan tiba di destinasi ditujui dan meminta pemandu menurunkan mereka di hentian yang tidak sepatutnya. Sikap seperti ini akan menjejaskan fokus pemandu," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua penumpang supaya lebih bertimbang rasa dan mengawal sikap mereka agar masalah tersebut dapat ditangani.

"Tidak salah jika ingin buat aduan tapi buatlah secara baik. Penumpang boleh bertemu dengan anggota penguatkuasa kami di 32 terminal yang dibuka untuk membuat aduan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Solah memberitahu pihaknya menerima peningkatan dalam proses pertukaran hak milik kenderaan terpakai dan pendaftaran kereta baru pada bulan ini.

"Apabila tiba Aidilfitri, trend seperti ini pasti berlaku. Namun saya lebih galakkan orang ramai menaiki bas pada musim perayaan kerana ia terbukti lebih selamat berbanding menggunakan kenderaan sendiri,"katanya.

Sementara itu, Solah berkata seramai 3,500 anggota JPJ akan ditempatkan di 32 terminal untuk melakukan pemeriksaan bas bagi memastikan operator bas mengikut garis panduan yang ditetapkan, sebelum membuat perjalanan sempena musim perayaan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memulakan proses pemeriksaan teknikal bagi memastikan semua komponen bas termasuk tayar dan brek dalam keadaan sempurna dan mampu berfungsi dengan baik.

“Pemeriksaan itu akan dilakukan di Tol Jalan Duta bagi perjalanan bas ekspres menuju ke Utara, Tol Sungai Besi (Selatan) dan Tol Gombak (Pantai Timur).

“Semua pemeriksaan ini akan dilakukan dengan teliti bagi memastikan JPJ tidak dipersalahkan jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini membabitkan bas ekspres,” katanya.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Kolumnis

iklan

Iklan