Penduduk Harap Kerajaan Kelantan Selesai Masalah Tanah

Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Lebih 50 penduduk yang terbabit dengan pengambilan balik tanah mereka untuk projek pembangunan ladang sawit oleh syarikat swasta di Kampung Sungai Miak, dekat sini, masih menunggu penyelesaian dengan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, mereka tetap tidak berganjak dengan keputusan untuk menghalang pengambilan balik tanah berkenaan selagi kerajaan negeri tidak memberi jaminan untuk menyelesaikan perkara itu dalam tempoh yang segera.

Mereka juga akan mengulangi untuk mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah tindakan kerajaan negeri mengambil tanah yang mereka usahakan di kawasan seluas 40 hektar itu sejak sekian lama.

Ketua kumpulan penduduk itu, Tuan Ibrahim Tuan Soh, 50, berkata beliau dukacita kerana sehingga hari ini masih belum ada pemimpin kerajaan negeri yang datang bagi membincangkan masalah tanah itu.

Beliau berkata sikap pemimpin kerajaan negeri yang tidak memberi kerjasama untuk menyelesaikan masalah itu menyebabkan penduduk berang dan terus bertindak menghalang syarikat terbabit memasuki kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

"Kita sebelum ini sudah banyak bertolak ansur apabila dimaklumkan pemimpin kerajaan negeri sedia berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Tetapi, nampaknya kita hanya dipermainkan pemimpin kerajaan negeri apabila sampai sekarang belum datang untuk berdepan dengan penduduk," katanya.

Seorang penduduk, Mohd Nor Ab Rahman, 53, berkata penduduk masih menunggu kedatangan pemimpin kerajaan negeri bagi membincangkan masalah tanah itu.

Beliau juga mendesak kerajaan negeri supaya menyerahkan tanah yang diambil kepada penduduk terbabit kerana hasil usaha itulah yang menjadi punca pendapatan mereka selama ini.

"Kebanyakan penduduk menanggung kerugian teruk apabila banyak tanaman termasuk ladang getah dimusnahkan syarikat terbabit tanpa ada perbincangan dengan penduduk terbabit terlebih dahulu," katanya.

Beberapa bulan lalu penduduk terbabit yang berang telah menyekat usaha pihak berkenaan untuk membersihkan tanah tersebut dan penduduk mendesak agar kerajaan negeri mengadakan perundingan terlebih dahulu sebelum mengambil tanah berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan