Najib Mula Bertugas Selepas Jalani Pembedahan Lutut

Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin kembali bertugas selepas menjalani pembedahan lutut kirinya di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin lepas, yang cedera akibat bersukan.

Berkemeja lengan panjang warna putih, bertali leher biru dan berkot hitam, Najib yang tiba di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9 pagi kelihatan sihat dan ceria.

Beliau kemudian mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang bermula 9.30 pagi.

Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah serta Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Petang ini Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis berbuka puasa bersama jemaah menetri, menteri besar dan bekas perdana menteri di Seri Perdana di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan