Tiada Tindakan Terhadap Hasan, PAS Mahu Jumpa JAIS, Gereja

Diterbitkan: Ahad, 7 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berhubung kenyataannya yang mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah gereja di Petaling Jaya pada Rabu lalu.

Sebaliknya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti berkenaan mengambil pendirian menyerahkan kepada kerajaan Selangor bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"PAS tak buat apa-apa keputusan terhadap Datuk Dr Hasan, beliau akan teruskan tugasnya sebagai exco," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (CWC) di sini, Ahad.

Pada mesyuarat hampir lima jam yang turut di hadiri Dr Hasan, CWC turut diberi penjelasan berhubung insiden serbuan di majlis makan malam muhibah di Gereja Methodis Damansara Utama (DUMC).

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, PAS memutuskan untuk bersemuka dengan JAIS dan pihak gereja sendiri bagi mendapatkan maklumat terperinci.

"Kita akan turun ke medan, kita nak dapatkan sendiri penjelasan daripada kedua-dua pihak.

"Kita tak boleh dengar penjelasan daripada Dr Hasan sahaja...kena berlaku adil," katanya.

Ditanya sama ada PAS meragui penjelasan Dr Hasan yang dilihat bertentangan dengan pendirian kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Hadi berkata isu berkenaan tidak seharusnya dibangkitkan.

"Bukan soal tak percaya penjelasan atau tidak, tapi tak cukup. Laporan media lagi tak boleh percaya. Jadi kita mahu dapatkan maklumat tepat dan terpeinci.

"Dr Hasan sendiri beritahu bahawa beliau pun dapat maklumat daripada JAIS selepas serbuan dibuat," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada haram sekiranya orang Islam menerima bantuan daripada penganut agama lain, Abdul Hadi berkata: "Tanya mufti, saya tak ada tauliah untuk jawab hukum."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan