Petani Di Empat Kawasan Mada Rugi RM1.2 Juta Akibat Bena Perang

Diterbitkan: Sabtu, 6 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Petani di empat kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kerugian kira-kira RM1.2 juta apabila sawah padi seluas 211 hektar diserang penyakit bena perang.

Kawasan paling teruk terjejas ialah Jitra dengan 132 hektar, diikuti Kota Sarang Semut (55 hektar), Kangar (15 hektar) dan Pendang (9 hektar).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum berkata serangan penyakit itu menyebabkan hasil petani jatuh sebanyak 60 peratus.

Penyakit bena perang ini dipercayai berpunca daripada penggunaan racun perosak berlebihan yang telah memusnahkan 'sahabat ladang 'seperti labah-labah, katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Mohd Johari berkata 'sahabat ladang' amat penting bagi menghalang pembiakan serangga bena perang daripada peringkat awal.

"Petani diharap memberi perhatian kepada tanaman mereka dan membuat pemantauan berterusan selain mengikuti nasihat Mada agar serangan bena perang tidak berulang," katanya.

Mohd Johari yang ditemui selepas meninjau sawah padi yang diserang bena perang di Kampung Pida 3, Tunjang dekat sini, berkata masalah serangan penyakit boleh diatasi dengan lebih berkesan jika petani menyertai Estet Padi kerana pengurusannya dilakukan secara sistematik.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B2 Sanglang, Md Nor Hamzah pula berkata racun yang dibekalkan Mada mungkin tidak menepati piawaian sehingga gagal membunuh serangga perosak.

Ini kerana katanya, serangan serangga bena perang itu berlaku dengan pantas, sekalipun petani menggunakan racun mengikut kadar yang ditetapkan Mada.

Justeru, Md Nor berharap kerajaan meneliti semula racun perosak yang dibekalkan bagi memastikan penggunaan bahan itu berkesan membendung pembiakan ben perang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan