Ahad Hari Terakhir Permohonan Biasiswa JPA

Diterbitkan: Sabtu, 6 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahad adalah hari terakhir permohonan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengikuti pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam negara bagi sesi 2011/2012.

Menurut iklan yang disiarkan oleh JPA dalam akhbar-akhbar utama tempatan pada Sabtu, permohonan adalah dipelawa daripada pelajar yang telah mendapat surat tawaran dan mereka yang ingin memohon boleh berbuat demikian melalui aplikasi atas talian http://esilav2.jpa.gov.my.

Mereka juga boleh memperolehi maklumat lanjut mengenai syarat-syarat permohonan, bidang tajaan dan cara memohon dengan melayari alamat yang sama.

Bagaimanapun, calon yang telah mendapat tajaan di bawah mana-mana Program Penajaan JPA ke IPTA tidak layak memohon.

Bagi IPTS pula hanya terhad kepada Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Multimedia.

Sementara itu percubaan mStar Online untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai jumlah peruntukan biasiswa ini dan juga bilangan tawaran daripada JPA tidak mendapat respon yang positif.

Malah kiriman emel yang dikemukakan kepada Unit Komunikasi Korporat JPA pada 1 Ogos lalu berhubung maklumat tambahan mengenai tawaran biasiswa ini seperti berapakah peruntukan dan berapa ramai penerimanya tidak mendapat respon langsung sehingga laporan ini ditulis.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan