Wanita Perlu Tingkat Keselamatan Diri

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:Golongan wanita dinasihatkan supaya meningkatkan keselamatan diri dan keluarga sebagai langkah berjaga-jaga ekoran pembunuhan kejam membabitkan seorang wanita dan kanak-kanak lelaki di ibu negara serta Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kassim di Perak baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jenayah pada masa sekarang bukan hanya berlaku di tempat sunyi tetapi turut mengancam mangsa di mana saja dan pada bila-bila masa.

"Saya dapati jenayah turut berlaku di pangsapuri, kawasan tempat tinggal yang dihuni pelbagai lapisan masyarakat... ada jiran, ada keluarga... adakah ini trend?," katanya pada sidang media selepas menyerahkan cek kepada rumah perlindungan HIV/AIDS dan Rumah Pengasih di sini, Jumaat.

Berdasarkan pemerhatian beliau, Shahrizat berkata, nilai kejiranan pada masa kini sudah terhakis kerana masyarakat sekeliling tidak mengambil tahu keadaan mahupun masalah jiran masing-masing.

"Sebagai contoh, di pangsapuri, penghuni duduk sebelah-menyebelah tetapi tidak tahu apa yang berlaku kepada jiran kita. Kedua-dua kes pembunuhan yang berlaku baru-baru ini membabitkan kediaman di pangsapuri," ujarnya.

Sehubungan itu, Shahrizat menggesa masyarakat di negara ini supaya saling mengambil-berat soal keselamatan dan kebajikan antara satu sama lain serta tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak polis.

"Kita perlu ambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Nilai kejiranan amat penting dalam menangani apa jua situasi berbahaya kepada orang ramai," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penemuan anggota badan manusia yang dikerat -kerat di dalam mangkuk tandas dan beg plastik di sebuah rumah di Apartmen Astaria di Taman Kosas, Ampang pada Rabu dan mayat Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kassim di Perak pada KHamis.

Terdahulu, Shahrizat menyerahkan peruntukan berjumlah RM2.8 juta kepada rumah perlindungan HIV/AIDS di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di seluruh negara yang disalurkan melalui program Anjung Damai.

Sebanyak 19 buah rumah perlindungan MAM menerima peruntukan sebanyak RM2 juta manakala lapan Rumah Pengasih seluruh negara mendapat bantuan berjumlah RM800,000.

Menurut beliau, peruntukan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah Berpendapatan Rendah (NKRA-LIH) itu diserahkan kepada dua organisasi tersebut bagi menaik taraf, membaik pulih dan meningkatkan perkhidmatan rumah perlindungan berkenaan.

"Pemberian bantuan ini amat bermakna memandangkan urusan untuk menjaga golongan yang terpinggir merupakan tanggungjawab bersama.

"Oleh itu, kami menyokong segala usaha yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga pesakit HIV/AIDS dan bekas penagih dadah," katanya.

Jelas beliau, peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 19 buah rumah perlindungan di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAM) seluruh negara yang dihuni golongan wanita, lelaki dan kanak-kanak yang disisihkan keluarga.

Sehingga kini, seramai 671 klien telah menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan rumah perlindungan itu seperti kemudahan rujukan perubatan, kejururawatan asas dan penjagaan paliatif, literasi rawatan dan program pematuhan serta kaunseling untuk emosi dan rohani.

Sementara itu, Shahrizat berkata, rumah Pengasih yang mula beroperasi sejak 1991 mempunyai 50,000 klien yang mendapatkan Bimbingan Kepulihan Rakan Sebaya.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan