Denda RM5,000, Penjara Jika Eksploitasi Kanak-Kanak - Berita Semasa | mStar

Denda RM5,000, Penjara Jika Eksploitasi Kanak-Kanak

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan polis bagi menangani isu kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengutip dana di tempat awam menerusi Akta Kanak-Kanak 2001, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata Seksyen 32 akta tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali kepada mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana.

Katanya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang diselamatkan itu pula boleh dikenakan bon oleh mahkamah menurut Seksyen 30 akta yang sama bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terbabit.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memaklumkan kepada polis jika terdapat kes sedemikian dan tindakan akan diambil ke atas pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Wakil Khas Amerika Syarikat untuk Masyarakat Islam Farah Anwar Pandith di kementeriannya di sini, Khamis.

Shahrizat berkata satu perbincangan antara agensi telah diadakan pada Selasa lepas yang bersetuju mengadakan operasi bersepadu untuk pihak JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit manakala polis pula menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang mengeksplotasi kanak-kanak.

Sementara itu, pertemuan yang berlangsung hampir sejam petang ini antara lain membincangkan hubungan dua hala antara wanita di Amerika Syarikat dan Malaysia terutamanya mengenai wanita Muslim dalam bidang keusahawanan dan ekonomi.

"Beliau berada di sini untuk mempelajari tentang apa yang telah kita lakukan dan mungkin ada idea atau cadangan yang beliau boleh bawa balik ke sana," kata Shahrizat.

Pandith berkata beliau banyak mempelajari mengenai usaha yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan, dan menggesa Malaysia supaya mengambil bahagian dalam inisiatif global Amerika Syarikat untuk menggalakkan wanita menyertai perkhidmatan awam.

"Ia adalah kerjasama antara Jabatan Negara dan tujuh kolej di Amerika Syarikat. Kami ingin melihat wanita Malaysia mengambil bahagian dalam usaha ini dan universiti, NGO di sini... jadikan usaha global ini untuk melihat lebih banyak penyertaan wanita dalam sektor perkhidmatan di seluruh dunia.

"Ini merupakan mesyuarat yang sangat membuahkan hasil dan peluang yang amat baik untuk berkunjung semula ke Malaysia," katanya.

Pandith, wakil khas pertama untuk mesyarakat Islam, menyandang jawatan itu sejak Jun 2009.

Tugas beliau termasuk mengadakan dialog dan menjalin perkongsian dengan masyarakat Islam di seluruh dunia berdasarkan kepentingan bersama dan saling menghormati. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan