Penuntut Malaysia Juara Dunia Pertandingan Microsoft Word 2010

Diterbitkan: Rabu, 3 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penuntut Malaysia, Clement Ng Chwin Chiat, yang memenangi pertandingan Microsoft Word 2010, muncul juara dunia.

Ng, meraih biasiswa bernilai US$5,000 pada pertandingan dunia Microsoft Office 2011, yang menarik penyertaan kira-kira 228,000 orang dari 57 negara, bersaing untuk menunjukkan kepakaran mereka dalam produk Microsoft Office.

Certiport, penyedia utama pembangunan pensijilan peperiksaan, perkhidmatan pengurusan program dan penawaran yang menganjurkan pertandingan itu, memilih penuntut Malaysia itu sebagai pemenang pada majlis yang berlangsung di San Diego, California pada Selasa.

Ia juga mengumumkan juara bagi kategori lain iaitu Chen Xing dari China dalam Microsoft Excel 2010, rakyat Jepun, Mizuki Terao (Microsoft Word 2007), warga Britain Rebecca Rickwood (Microsoft Excel 2007) dan rakyat Taiwan Liao Yu-Xuan (Microsoft PowerPoint 2007).

Dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama melalui e-mel, Certiport berkata para peserta yang mengambil bahagian bersaing untuk menunjukkan kepakaran mereka dalam produk Microsoft Office dan 79 finalis daripada 29 negara mengambil bahagian pada pusingan akhir pertandingan.

Pada pusingan akhir pertandingan Microsoft Word 2010 itu, peserta mengambil bahagian dalam ujian unik bagi menunjukkan kemampuan mereka mewujudkan dokumen bagi maklumat yang dibentangkan dalam Word.

Dan Ng berjaya menduduki tempat pertama dalam 10 peserta akhir terbaik Microsoft Word 2010 itu yang termasuk penuntut dari Singapura, Taiwan, Kanada, Amerika Syarikat, China dan Thailand.

Tahun ini, Certiport menambah komponen baru kepada pertandingan dengan setiap peserta Word 2010 dikehendaki menduduki peperiksaan Word standard 2010 Microsoft Office Specialist (MOS) dan juga diminta untuk mewujudkan semula dokumen Word 2010 sedia ada daripada contoh yang disediakan dan dicetak.

“Kami mengadakan pertandingan bagi memotivasikan dan mengiktiraf penuntut yang pakar dalam kemahiran teknikal utama yang akan membantu mereka cemerlang di kolej dan resume mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Certiport Ray Kelly.

Beliau berkata beliau kagum dengan para pemenang dan dengan memegang gelaran "Juara Dunia", akan merupakan aset yang bernilai bagi mereka untuk meneruskan kehidupan profesional.

Kelly berkata pertandingan dunia Microsoft Office ini yang masuk tahun ke-10, terus popular memandangkan jumlah penuntut yang mengambil bahagian dari seluruh dunia pada 2011 meningkat sebanyak 49 peratus berbanding 2010.

Naib Presiden Korporat Pengurusan Produk Kumpulan Microsoft Corp Office Takeshi Numoto berkata beliau tertarik dengan kehebatan para penuntut dari seluruh dunia dalam mempelajari kemahiran Microsoft.

“Adalah suatu yang hebat untuk melihat ramai penuntut cekap menggunakan Microsoft Office 2010,” katanya dan menambah bahawa Office digunakan dilebih satu bilion komputer peribadi di seluruh dunia.

Tahun depan, Certiport akan menjadi hos kepada pertandingan dunia Microsoft Office 2012 di Las Vegas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan