Kontraktor Jelaskan Anaknya Bukan Penerima Kontrak RM1 Juta Di P.Pinang

Diterbitkan: Selasa, 2 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang kontraktor pada Selasa menafikan dakwaan kononnya anak beliau yang baru berusia 19 tahun mendapat projek bernilai RM1 juta daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina sebuah sekolah agama di sini.

Abdul Wahab Abdullah berkata, sebaliknya anak lelaki beliau itu, Nursufi, hanyalah seorang pengurus projek pembinaan sekolah agama dua tingkat di Batu Maung itu.

Malah katanya, projek itu tidak sampai pun RM1 juta sebagaimana yang digembar-gemburkan sebaliknya hanya bernilai RM500,000 sahaja.

"Projek itu diperoleh oleh Syarikat Syamir dan ia adalah syarikat isteri saya, Rozidah Omar. Projek ini bukan bernilai RM1 juta seperti yang dilaporkan dalam akhbar sebaliknya hanya bernilai kira-kira RM500,000 sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, projek berkenaan telah siap akhir tahun lepas.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan pelajar sebuah kolej, Nursufi Abdul Wahab yang baru berumur 19 tahun, berjaya memperoleh projek bernilai RM1 juta daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Tan dilaporkan mempertikai ketelusan kerajaan negeri dalam pengagihan projek di negeri itu dan mendakwa hanya 0.2 peratus projek diberikan kepada bukan Bumiputera sejak 2008.

Abdul Wahab berkata, beliau dan isteri sedang memberi pendedahan kepada Nursufi dalam bidang perniagaan.

"Dia sedang belajar di Kolej Damansara Utama dalam jurusan perniagaan. Projek itu untuk dia belajar serba sedikit dalam bidang itu," katanya.

Abdul Wahab menambah, anaknya itu tidak mempunyai sebarang lesen kontraktor Kelas D seperti yang dilaporkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan