Diplomat Asing Perlu Dapat Maklumat Daripada Sumber Tepat - Abu Zahar

Diterbitkan: Selasa, 2 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi luar negara yang berada di Malaysia digalak menjalin hubungan baik dengan semua pihak terutamanya kerajaan bagi memperoleh gambaran sebenar mengenai perkara yang berlaku di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata sebagai wakil kepada negara masing-masing mereka wajar diberikan maklumat tepat dan bagi mengelak daripada memperoleh maklumat yang telah diselewengkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya menggalakkan duta-duta di Malaysia selalu berinteraksi dengan kita untuk mendapat gambaran yang seimbang, lebih baik dan bukannya maklumat yang diperoleh secara tidak bertanggungjawab daripada pihak yang tidak berkenaan.

"Yang penting kita perlu ada hubungan baik dan untuk itu saya harap duta-duta luar yang berkhidmat di sini dapat menggunakannya sebagai medan bertukar-tukar pendapat bagi mendapatkan gambaran sesuatu perkara dengan seimbang," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Duta Besar Switzerland Dr Rolf Lenz di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Abu Zahar berkata sebagai wakil kerajaan masing-masing, para duta bebas bergaul dengan masyarakat di negara ini tetapi ada kalanya perhubungan itu boleh memberi gambaran kurang tepat mengenai isu tertentu seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan perhimpunan haram pada 9 Julai lepas.

Beliau berkata, dalam pertemuan hari ini perkara itu telah diperjelaskan kepada Lenz yang sebelum ini masih keliru kerana menurut duta itu, banyak pihak yang ditemuinya menyatakan tidak senang dengan penguatkuasaan ISA.

"Saya menyatakan kepada beliau bahawa ISA ialah satu undang-undang yang telah dipersetujui oleh Parlimen yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat, maknanya undang-undang itu diterima dan disokong oleh rakyat, sekiranya tidak diperlukan ia boleh dikemukakan kepada Parlimen bagi mendapat persetujuan untuk dimansuhkan.

"Kalau tidak ada lagi undang-undang itu, maka pihak polis juga tidak perlu bertindak kerana tindakan mereka adalah atas kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada mereka dan ia dijalankan berdasarkan perkara yang termaktub dalam akta itu," katanya.

Dalam kunjungan itu, Lenz turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Abu Zahar selaku Yang Dipertua Dewan Negara untuk menghadiri persidangan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) yang akan berlangsung di Berne, Switzerland, dari 16 hingga 19 Okt ini.

IPU, yang dianggotai oleh 148 negara, ditubuhkan pada 1889 untuk sebagai wadah bagi negara berparlimen di seluruh dunia berbincang dan berdialog serta bekerjasama ke arah kesejahteraan bersama dan mengekalkan keamanan dunia. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan