SPRM Kelantan Nafi Tak Berani Siasat Kes Babitkan Kerajaan PAS Kelantan

Diterbitkan: Ahad, 31 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pihaknya tidak berani melakukan siasatan terhadap penyelewengan yang didakwa membabitkan kerajaan PAS Kelantan.

Pengarahnya Nasaruddin Mohd Nor berkata sebagai contoh, SPRM telah menjalankan siasatan dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab Rahman dan dakwaan kes penyelewengan dalam projek Bazar Tok Guru.

Katanya siasatan kes Abdul Ariffahmi yang merupakan menantu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telahpun selesai dengan kertas siasatan telah diserahkan kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk tindakan.

"Bagi dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pengurusan kewangan dalam projek Bazar Tok Guru sehingga menyebabkan kerajaan negeri dilaporkan kerugian RM50 juta, pihak kita telah melakukan siasatan termasuk mengambil keterangan beberapa saksi. Kita dapati tiada unsur rasuah," katanya.

Katanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 174 maklumat diterima berhubung kes rasuah di negeri ini dengan 17 kertas siasatan dibuka.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 10 tangkapan telah dibuat dengan lapan kes telah dibuat pendakwaan di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas pengarah SPRM Kelantan yang baru disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan, di sini Ahad.

Pada majlis itu, Nor Rasmi Shaari yang sebelum ini Timbalan Pengarah SPRM Perak menggantikan Nasaruddin yang bertukar ke Putrajaya sebagai Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan