Proses Pendaftaran Biometrik Dilanjutkan - Hishammuddin

Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, yang dijadual berakhir Ahad ini dilanjutkan sehingga satu tempoh yang akan ditentukan kelak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu selaras dengan kepentingan program yang dijangka antara lain mampu membendung jenayah merentasi sempadan.

"Kalau sekarang kita tidak tahu berapa jumlah pekerja asing yang ada dan ada pula agenda tertentu yang sehingga kini polis dapat pantau dan bendung, tapi pada masa depan jumlah bertambah tanpa diketahui dan boleh menjejaskan keselamatan negara, ketika itu sudah terlambat," katanya di sini.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian dokumen diri Sempena Program Mydaftar pada Jumaat, bagaimanapun enggan mengulas berapa lama tempoh lanjutan itu akan diberikan.

"Ia bukan isu lanjutan, isunya penyelesaian, maknanya kalau mereka dapat daftar awal kita dapat selesai awal dan ia praktikal.

"Saya telah belajar kalau kita tetapkan masa, hujung-hujung juga mereka akan buat,"katanya," katanya.

Ditanya kemungkinan ada pekerja asing tidak mendaftar kerana tiada tarikh akhir, Hishammuddin berkata jika proses pendaftaran pekerja asing sah dan tidak sah berjalan seperti yang dikehendakki, kerajaan akan menguatkuasakan peraturan mengusir mereka yang ingkar.

"Di situ tidak ada lagi alasan sebab mereka tidak mendaftar dan kalau perlu diusir, perlu dikembalikan ke negara asal, mereka tidak boleh salahkan kerajaan Malaysia,"katanya.

Pendaftaran biometrik itu merupakan permulaan Program 6P yang meliputi pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pekerja asing di negara ini.

Sejak dilaksanakan 13 Julai lepas, 390,404 pekerja asing daripada 26,894 majikan di negara ini telah mendaftar di bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, manakala pendaftaran pekerja asing tidak sah pula bermula 1 Ogos ini.

Di KUALA TERENGGANU, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata parti itu berpendapat perlu ada tarikh akhir ditetapkan untuk pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah.

Beliau berkata tempoh dua minggu dianggap mencukupi berbanding dengan menentukan kemudian tempoh akhir pelaksanaan proses itu.

"Kerajaan perlu lanjutkan tempohnya... dua minggu mencukupi, kalau tak mereka akan tunggu saat-saat akhir. Itu budaya Malaysia, mereka akan tunggu hingga saat akhir... perlu ada tarikh akhir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA/Pemuda/Wanita MCA Negeri Terengganu 2011 di sini.

Dr Chua berkata majikan pula perlu memberi kerjasama dengan tidak melengahkan pendaftaran pekerja masing-masing.

"Dianggarkan terdapat 1.8 juta pekerja asing yang sah, namun sehingga semalam pendaftaran biometrik hanya mencatat 600,000. Kita harap dapat dilanjutkan selama dua minggu dan majikan pula tidak berlengah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan