Lanjutkan Pendaftaran Pekerja Asing Yang Sah: MBAM

Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) merayu kepada Kementerian Dalam Negeri supaya mempertimbang untuk melanjutkan tempoh Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah hingga 31 Ogos daripada 31 Julai.

Pendaftaran yang bermula pada 13 Julai itu meliputi hanya 390,000 daripada anggaran 1.75 juta pekerja asing di negara ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Presiden MBAM, Kwan Foh Kwai, berkata persatuan itu berpendapat tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk mendaftarkan pekerja asing yang sah atas beberapa sebab.

Selain notis yang singkat diberikan, kata beliau, kontraktor pada umumnya mempunyai komitmen kontrak yang ketat untuk dipenuhi dan terpaksa menghentikan kerja dengan mengejut.

Di samping itu, kata Kwan, kontraktor yang bekerja di kawasan luar bandar dan terpencil menghadapi masalah logistik untuk membawa pekerja asing mereka bagi pendaftaran di pusat-pusat pendaftaran, yang dikatakan sesak dengan permohonan pada masa ini.

"Anggota-anggota MBAM telahpun menanggung kerugian akibat gangguan operasi berikutan proses pendaftaran ini.

"Kami berharap kerajaan akan mempertimbang untuk melanjutkan tempoh pendaftaran ini hingga akhir bulan depan kerana sekiranya pekerja-pekerja asing yang sah ini ditolak disebabkan oleh kegagalan mendaftar, ini akan mengakibatkan kekurangan pekerja untuk melaksanakan projek-projek yang telah dijanjikan siap dalam masa yang ditetapkan," tegas beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan