Hujan Lebat & Pelbagai Punca Lagi Sebabkan KL Sesak Teruk Pada Jumaat

Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hujan lebat awal pagi tadi antara sebab berlakunya kesesakan lalu lintas di sekitar ibu kota sehingga malam ini.

Ketua Unit Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, ASP Azmi Wahid berkata hasil pemantauan, polis mendapati rata-rata mereka yang menunggang motosikal terpaksa memandu kereta ke tempat kerja kerana hujan lebat.

"Akibatnya, puluhan ribu kereta masuk ke pusat bandar raya dari jalan luar dan terpaksa bersesak-sesak akibat hujan lebat.

"Pemerhatian kami mendapati apabila kesemua jalan utama yang menghubungkan dengan pusat bandar raya sesak, jalan luar seperti Jalan Kuching dan Jalan Duta turut sesak," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata kesesakan dari pagi itu berlanjutan ke tengah hari berikutan waktu rehat panjang pada Jumaat dan juga pada petang selepas habis waktu pejabat.

Selain itu, kata Azmi berlaku beberapa kemalangan semasa waktu hujan.

"Di Istana Negara awal pagi tadi, ada kemalangan semasa hujan, jadi pengguna dari Jalan Sungai Besi ke Lebuhraya Mahameru terperangkap (dalam kesesakan)," katanya.

Selain itu, beberapa jalan turut sesak kerana ada jalan lain ditutup seperti di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Pahlawan selain trafik perlahan di Jalan Pinang kerana ada pembinaan jejantas di kawasan itu.

Katanya, kesesakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman pula berlaku kerana ada jualan besar-besaran di premis perniagaan di kawasan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan pengguna dari jalan luar seperti dari Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak dan dari Sentul tersangkut dalam kesesakan.

Beliau menasihatkan warga kota menggunakan pengangkutan awam sebagai langkah mengurangkan kesesakan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan