Serangan di Lebanon: Malcon East 6 Selamat

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUBANG: Pasukan Kontinjen Malaysia (Malcon) East 6 yang terlibat dengan misi pengaman di Lebanon terselamat daripada serangan pengganas yang menyebabkan tiga anggota Pasukan Komander Simpanan Perancis (CRP) cedera parah pada pukul 6 petang waktu tempatan, Selasa.

Serangan berdekatan Ibu Pejabat Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL) oleh pihak yang didakwa tidak berpuas hati dengan kehadiran pasukan pengaman dari Eropah itu berlaku sewaktu pasukan Malcon itu bersiap sedia untuk bertolak pulang ke tanah air.

Panglima Angkatan Bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamrulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pasukan pengaman negara itu bernasib baik kerana tidak dijadikan sasaran meskipun lokasi serangan itu merupakan laluan utama pasukan Malcon tersebut sebelum ini.

“Dua hari sebelum serangan itu, seramai enam tentera Itali cedera parah akibat serangan di kawasan yang sama. Alhamdulillah, Malcon kita telah dilindungi Allah SWT daripada sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan kepulangan pasukan tersebut di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, Rabu.

Ketibaan seramai 160 anggota pasukan tersebut yang diketuai Lt. Kol. Mohd. Sarmin Mohd. Sih tiba di tanah air termasuk 33 pegawai dan 127 anggota lain-lain pangkat disambut meriah oleh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga masing-masing. - Utusan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan