PM Berpendapat SPRM Telah Berusaha Sebaik Mungkin Banteras Rasuah

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rabu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin untuk membanteras rasuah ketika berdepan dengan pelbagai cabaran. "Banyak cabaran yang perlu diatasi tetapi mereka beriltizam untuk melakukan usaha terbaik demi menentukan rasuah ditangani secara paling efektif di negara ini," katanya kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Online 1Malaysia pertama dengan pakar-pakar di pelbagai bidang di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Beliau mengulas mengenai cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kematian pembantu politik Teoh Beng Hock, bagi penambahbaikan aspek perlindungan saksi yang disoalsiasat oleh SPRM.

Najib berkata, perubahan operasi akan dibuat kepada SPRM dari segi latihan di mana RCI menyatakan bahawa latihan yang ada kurang lengkap. "Jadi kita akan perkukuh latihan, kaedah soal siasat dan pengendalian saksi akan mematuhi garis panduan baru," kata beliau.

Laporan RCI menyatakan Teoh terdorong untuk membunuh diri akibat soal siasat yang agresif, tanpa henti dan begitu menekan oleh pegawai tertentu SPRM.

Najib juga berkata, terpulanglah kepada SPRM dan polis untuk menjalankan siasatan selanjutnya dan Peguam Negara untuk memutuskan bentuk tindakan berikutnya.

Beliau berkata, cadangan dibuat oleh anggota panel RCI itu tidak menjejas imej SPRM oleh kerana mereka bercakap mengenai individu berkenaan dan bukan pertubuhan itu secara keseluruhannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan