Najib Tiba Di Kedah Untuk Lawatan Sehari

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini Khamis untuk melakukan lawatan kerja sehari ke Kedah.

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama rombongan termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba di lapangan terbang itu pada pukul 9.30 pagi.

Antara yang menyambut rombongan Perdana Menteri adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukriz Tun Mahathir serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Perdana Menteri memulakan lawatan dengan mendengar taklimat pembinaan Masjid Ar-Rahman di Taman Wira di sini. Masjid tersebut mendapat peruntukan RM1.2 juta daripada kerajaan pusat untuk projek pembesarannya.

Beliau kemudiannya melakukan tinjauan mesra di Taman Wira Mergong dan Pasar Tani Taman Wira yang terletak berhadapan dengan masjid itu.

Perdana Menteri akan turut menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa 1 di Jalan Kuala Kedah dekat sini serta sambutan 100 tahun penubuhan sekolah tersebut.

Selepas itu, beliau akan ke Guar Chempedak, kira-kira 48km dari sini, untuk menghadiri Program Kenduri Rakyat di Padang Awam Guar Chempedak yang dijangka dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Himpunan Belia 1Malaysia di Stadium Mini Pendang dan mengadakan pertemuan dengan rakan facebook beliau pada majlis 'Mari Berjumpa Mari Berhubung' di Hotel Holiday Villa di sini.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Najib akan menyertai jamuan makan malam bersama-sama 3,000 orang di Dewan Wawasan Jitra yang terbuka kepada orang ramai.

Sementara itu, Rosmah setibanya di Kedah mempunyai atur cara yang lain di mana beliau akan melawat Pusat Anak Permata Negara di Desa Keda, Batu 13, Pokok Sena sebelum menyertai program Perdana Menteri selepas itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan