Ketepikan Kepentingan Politik:Dr Chandra

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Negara dan rakyat merupakan perkara yang harus diberi keutamaan dan semua pihak perlu mengenepikan kepentingan dari segi politik, puak dan individu, kata Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar.

Beliau yang merupakan antara tokoh yang terlibat dalam Meja Bulat Online 1Malaysia berkata itu merupakan mesej utama yang muncul daripada perbincangan dalam dialog meja bulat yang diadakan semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"(Penyertaan) Pakar ini (dalam meja bulat) dipilih berdasarkan kepada latar belakang dan sumbangan mereka kepada masyarakat yang sebahagiannya terdiri daripada aktivis, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

"Sebahagian besar terdiri daripada ikon masyarakat kerana mereka mempunyai pengikut mereka sendiri. Melalui cara ini, kita dapat mempengaruhi pengikut mereka dan dapat menyampaikan mesej tentang masa depan negara.

"Itulah mesej utama yang muncul daripada perbincangan hari ini (semalam) iaitu kita harus mengenepikan kepentingan politik, puak dan individu, dan yang harus diutamakan adalah negara dan rakyat. Itu yang disampaikan oleh semua peserta (meja bulat) dan mesej itu juga boleh dianggap daripada meja bulat kepada rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Antara pakar yang hadir semalam ialah Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS) Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin, Presiden FOMCA Datuk N Marimuthu, Pengasas Universiti Limkokwing Tan Sri Lim Kok Wing, bekas pemain bola sepak Serbegeth Singh, pemain skuash kebangsaan Azlan Iskandar, personaliti televisyen Aznil Nawawi dan penyanyi Amy Search.

Dr Chandra turut menyifatkan perbincangan yang diadakan semalam sebagai terbuka dan beberapa idea bernas telah dikemukakan tentang isu yang mencabar masyarakat hari ini.

"Yang dimaksudkan ialah tentang isu perpaduan, ekonomi, kenaikan harga barangan dan masa depan politik negara.

"Perbincangan yang diadakan dapat memanfaatkan semua pihak terutamanya masyarakat Malaysia kerana idea ini mungkin dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar atau program tertentu yang akan menguntungkan rakyat," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri memberi perhatian yang serius terhadap setiap pandangan yang diutarakan dan memberi jaminan bagi isu tertentu untuk diberi perhatian. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan