Kibar Jalur Gemilang Tanpa Kira Ideologi Politik:Rais

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu rakyat menyahut kempen Kibar Jalur Gemilang dengan sepenuh hati tanpa mengira ideologi politik dan budaya mereka.

Beliau berkata pengibaran Jalur Gemilang merupakan simbol kewujudan negara dan bukannya berkaitan dengan idea politik atau perbezaan pendapat.

"Sambutan (kemerdekaan) kali ini menandakan manifestasi perjuangan dan menandakan keseimbangan yang dapat disambut oleh semua rakyat Malaysia.

"Mari kita sama-sama menghayati tema Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera sebagai memperjuangkan gagasan 1Malaysia yang membawa negara ke satu arena yang baru," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Stesen KL Sentral di sini, Rabu.

Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba di Stesen KL Sentral dengan menaiki tren KLIA Transit dari Stesen Putrajaya Sentral.

Tahun ini, sambutan kemerdekaan diadakan pada 16 Sept serentak dengan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka.

Sempena sambutan Kemerdekaan Ke-54, Rais berkata sebanyak 244 program disusun di seluruh negara untuk dihayati dan disertai rakyat.

"Tiada makna semua program sambutan ini jika rakyat tidak menerima sepenuhnya apa yang dirancangkan kerajaan terutamanya program Transformasi Negara untuk menjadikan Malaysia maju," katanya.

Pada majlis itu, Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri-menteri Kabinet, yang memakai baju batik khas, turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada para pemandu teksi.

Kemudian, Najib melepaskan Konvoi Merdeka Pacuan Empat Roda sebelum menyerahkan perekat Jalur Gemilang kepada menteri-menteri Kabinet. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan