Jabatan Penerangan Diminta Aktif Sebar Dasar Kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerangan diminta memainkan peranan aktif dalam menyebarkan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan agar ia dapat diikuti dan difahami oleh rakyat sepenuhnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata jabatan itu perlu menyusun strategi terbaik dalam menterjemaah semua dasar kerajaan dalam bentuk yang dapat memberi kesan kepada rakyat.

Beliau berkata Jabatan Penerangan juga perlu menyebarkan maklumat mengenai dasar kerajaan dengan meluas serta pantas supaya ia tidak diputar belit oleh sesetengah pihak.

"Dengan ledakan maklumat yang pantas dan terkini, penerangan harus berkembang seiring dengan kemajuan, perkemaskan aktiviti dan fikirkan bagaimana cara terbaik mendidik rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan," katanya semasa menutup program pemukiman Jabatan Penerangan Malaysia 2011 di sini Rabu.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) kementerian Datuk Dr Rothiah Omar dan Ketua Pengarah Penerangan Ibrahim Abdul Rahman.

Kamaruddin juga berkata semua program anjuran jabatan itu perlu disusuli dengan penyelidikan dan maklum balas bagi melihat keberkesanannya dan kefahaman rakyat mengenainya.

"Penyelidikan itu akan mengenal pasti adakah rakyat faham atau tidak, berkesan atau tidak program kita itu," katanya.

Beliau berkata penyediaan program yang bersesuaian hendaklah disusun agar ia dapat menarik minat lebih ramai rakyat dan disamping itu semua anggota Jabatan Penerangan perlu bergerak aktif dan kreatif untuk menjayakan program tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan