Hanya Jakim, MAIN Keluarkan Sijil Halal Tahun Depan

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil halal apabila Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 (pindaan 2011) dikuatkuasakan selewat-lewatnya Januari tahun depan.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tujuh syarikat pengeluar sijil halal swasta ketika ini tidak lagi dibenarkan mengeluarkan sijil tersebut.

"Tujuh syarikat ini tidak mempunyai makmal (halal). Orang hantar pun, dia tengok kertas dan terus bagi sijil halal dan tujuh syarikat ini hanya mempunyai satu tauke sahaja dan dia kaut keuntungan sebanyak mungkin," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 50 Pegawai Pentadbir Masjid Daerah (PPMD) di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, di sini Selasa.

Beliau berkata kewujudan makmal halal milik Jakim di Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dengan kos kira-kira RM27 juta tidak lama lagi akan memudahkan Jakim mengeluarkan sijil halal dengan lebih telus dan berkesan.

Jamil Khir berkata pindaan akta itu juga memperluaskan bidang kuasa pegawai Jakim termasuk untuk mendakwa individu atau syarikat yang melanggar akta berkenaan termasuklah penyalahgunaan sijil halal.

Sebelum pindaan tersebut, kuasa pegawai Jakim hanya terhad kepada menyerbu dan melakukan siasatan manakala kuasa pendakwaan terletak pada Kementerian Perdagangan dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Beliau berkata sejumlah 62 pegawai Jakim sedang dilatih pegawai KPDNKK bagi memastikan pelaksanaan pindaan itu kelak berkesan.

Beliau berkata pindaan akta itu turut membolehkan 'beban pembuktian' iaitu kepada pemilik kedai makanan berkenaan.

"Tauke kedai kena buktikan ia halal, kalau halal dia kena tunjuk bukti dia termasuk berapa pekerja dia yang memasak termasuk seorang Muslim.

"Dia juga kena tunjukkan resit pembelian barangan masakan kedai berkenaan daripada mana, ini 'beban pembuktian' kita serah kepada dia," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Jamil Khir meminta Jakim supaya menyelaraskan semula perjawatan Pegawai Pentadbir Masjid Daerah (PPMD) yang sebelum ini diwujudkan di pelbagai peringkat termasuk di peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Macam di Kelantan, mereka ada Pegawai Pentadbiran Masjid Jajahan (PPMJ) dan disebabkan keadaan telah banyak berubah tinggal seorang. Jadi, hanya tinggal dia sahaja yang selaraskan masjid di seluruh Kelantan.

"Macam di Melaka pula, oleh kerana perjawatan ini (PPMD) adalah merupakan di peringkat negeri, maka ia diselaraskan secara langsung di bawah Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Ali Rustam)," katanya sambil menambah cara penyelarasan berkenaan akan dilakukan secara bersama oleh Jakim dan MAIN.

Terdapat 89 PPMD sehingga kini dan daripada jumlah tersebut, 68 adalah lantikan Jakim manakala selebihnya adalah lantikan oleh MAIN. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan