Perubahan Positif Perlu Untuk Pembangunan Labuan:Yussof Mahal

Diterbitkan: Selasa, 26 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABUAN: Pengerusi Perbadanan Labuan yang baru Datuk Yussof Mahal berkata beliau akan memberi tumpuan bagi menggalakkan pelaburan swasta dan meningkatkan kemahiran di kalangan warga pekerja tempatan bagi membawa perubahan positif dalam pembangunan pulau ini sebagai pusat perniagaan dan kewangan pada masa depan.

Katanya untuk mencapai matlamat itu, pelaburan swasta perlu ditingkatkan bagi menggalakkan pertumbuhan di Labuan.

Yussof yang juga Anggota Parlimen Labuan berkata peranan pihak berkuasa tempatan juga perlu diberi nafas baru dengan memastikan perubahan pemikiran di kalangan ketua-ketua jabatan supaya mereka lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah dan meningkatkan sistem penyampaian tanpa perlu melibatkan pertambahan perbelanjaan mahupun perjawatan.

Isu kerenah birokrasi sektor awam mungkin tidak begitu digemari tetapi pendekatan yang diambil perlu dilakukan dengan bijaksana, katanya kepada Bernama sempena pelantikannya bagi menggantikan Datuk Ahmad Phesal Talib yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, semalam.

Yussof berkata kesungguhan pegawai awam amat penting untuk terus memahami dan mendokong hasrat dan cita-cita kerajaan kerana mereka merupakan tulang belakang untuk kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Sambil melahirkan penghargaan di atas pelantikannya, beliau berkata pelantikan ini merupakan satu penghormatan besar kepada warga Labuan dan beliau berjanji akan meneruskan apa yang telah dirancang dan diusahakan oleh mantan Pengerusi Perbadanan Labuan demi kesinambungan pembangunan di Labuan.

Beliau turut melahirkan harapan kerjasama yang telah terjalin selama ini kepada beliau sebagai Anggota Parlimen Labuan akan terus diperkukuhkan lagi demi memastikan kelancaran pentadbiran dan perancangan pembangunan Labuan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan.

Sementara itu, Yussof berkata beliau telah menubuhkan Kumpulan Ahli Pemikir Labuan yang dibarisi oleh 13 tokoh korporat, ahli profesional dan pemimpin tertinggi kerajaan di Labuan yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu untuk memberi fokus kepada pembangunan terancang Labuan.

"Ia akan memberi fokus kepada Sembilan Sektor Utama - seperti Minyak dan Gas, Perkapalan, Pelabuhan, Pelancongan, Perkhidmatan Kewangan, Pembangunan Wanita dan Kepenggunaan, Perniagaan, Pendidikan dan Pembangunan untuk membantu usaha pihak Kementerian membawa Wilayah Persekutuan Labuan ke arah Maju dan Sejahtera, selain memastikan Labuan berada di landasan yang betul dari segi pembangunan terancang," katanya.

Penubuhan kumpulan itu bagi membantu menghasilkan satu perancangan pembangunan yang berkesan dan kolektif sebagai perakuan untuk persetujuan dan kelulusan di peringkat tertinggi kerajaan.

Kumpulan ini akan membincangkan hala tuju pembangunan Labuan. Ini adalah satu usaha inisiatif untuk membawa kemajuan di Labuan dan ini perlu dilaksanakan dengan penuh terancang, objektif dan komprehensif, katanya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan