Tag Satelit Dipasang Pada Monyet Probosis - Berita Semasa | mStar

Tag Satelit Dipasang Pada Monyet Probosis

Diterbitkan: Ahad, 24 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Lapangan Danau Girang Field Centre (DGFC) baru-baru ini meletakkan tag satelit pada seekor monyet probosis di Wilayah Kinabatangan.

Pengarah Jabatan itu Dr Laurentius Ambu berkata ia merupakan pemasangan tag satelit ke atas monyet probosis yang julung-julung kali dilaksanakan di Borneo.

"Ia merupakan permulaan program pemuliharaan dan penyelidikan jangka panjang yang digerakkan oleh kami dan DGFC, dengan pembiayaan oleh Yayasan Sime Darby," menurutnya dalam satu kenyataan Ahad.

Beliau berkata program itu amat penting untuk memelihara monyet probosis di Sabah, yang merupakan spesies terpelihara, yang semakin pupus di Borneo.

Menurutnya hasil usaha itu akan dibentangkan di satu bengkel antarabangsa berhubung pemuliharaan monyet probosis di Borneo yang akan dianjur di Kota Kinabalu nanti.

"Kami amat menghargai sokongan oleh Yayasan Sime Darby Foundation terhadap program ini, dan juga Malaysian Palm Oil Council serta Shangri-La's Rasa Ria Resort, yang banyak menyokong usaha kami," kata Ambu.

Ketua Veterinarian Jabatan Hidupan Liar Sabah Dr Senthilvel Nathan berkata monyet probosis jantan seberat 24 kilogram itu ditangkap oleh anggota Unit Penyelamat Hidupan Liar dan DGFC semasa mereka melaksanakan Program Monyet Probosis minggu lepas, yang turut dijalankan dengan kerjasama Universiti Cardiff.

"Kami akan berusaha menangkap monyet probosis di seluruh negeri bagi mengumpul darah untuk dianalisis dan identifikasi parasit; air liur untuk mengesan virus dan bakteria; serta merekod data-data ectoparasites dan morphometric," tambahnya.

Sementara itu pengarah DGFC Dr Benoit Goossens berkata pemasangan tag satelit itu bertujuan mengkaji dan memahami sepenuhnya corak kehidupan monyet probosis di samping mengesan pergerakan serta kepadatan haiwan itu bagi menentukan jumlah habitat yang sesuai disediakan buat mereka, bagi memastikan monyet itu terus wujud di wilayah Kinabatangan.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan