SPRM Tubuh Pasukan Khas Siasat Dakwaan Langgar Peraturan Oleh Tiga Pegawainya

Diterbitkan: Ahad, 24 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan satu Pasukan Khas Siasatan untuk menyiasat tiga pegawainya yang didakwa melanggar peraturan ketika menguruskan kes membabitkan pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

SPRM dalam kenyataan media hari ini berkata ia menerima dan memandang serius cadangan-cadangan penambahbaikan yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock yang telah dikeluarkan pada Khamis, 21 Julai lepas.

Menurut kenyataan itu, langkah penubuhkan Pasukan Khas Siasatan itu juga merupakan tindakan susulan proaktif dan serta merta berhubung cadangan tindakan ke atas ketiga-tiga pegawai SPRM seperti mana yang terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya berkenaan.

Pasukan Khas itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Zakaria Jaffar yang akan menjalankan siasatan susulan dalaman yang menyeluruh serta menyediakan laporan yang komprehensif.

Hasil laporan yang disediakan kelak akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Aduan yang terdiri daripada empat individu bebas, yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, menurut kenyataan itu lagi.

Turut menganggotai pasukan itu ialah bekas timbalan ketua setiausaha kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Muhammad Mohd Noor, bekas ketua pengarah Biro Pengaduan Awam Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah dan seorang peguam V. Ravindran.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Hasil siasatan, Suruhanjaya berkenaan memutuskan bahawa Teoh bukan dibunuh, sebaliknya membunuh diri kerana berasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan ke atasnya oleh pegawai penyiasat SPRM.

Suruhanjaya itu di dalam laporannya mendapati tiga pegawai penyiasat yang terbabit, iaitu Hishamuddin Hashim, Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan tidak wajar ke atas Teoh, yang didapati melanggar prosedur sedia ada.

Menurut kenyataan media itu, sementara hasil laporan susulan tersebut diperolehi, ketiga-tiga pegawai berkenaan dilucutkan atau dikecualikan daripada sebarang tugas operasi siasatan.

"SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan bertolak ansur atau melindungi mana-mana pegawai yang didapati bersalah melakukan apa-apa kesalahan jenayah atau tatakelakuan," demikian menurut kenyataan itu. SPRM juga menurut kenyataan itu akan menyerahkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan berkaitan secara bebas dan telus.

Dalam pada itu, SPRM turut memaklumkan bahawa beberapa cadangan Suruhanjaya tersebut telah dan sedang diambil tindakan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), mewujudkan 'Video Interview Room' (VIR), semua pelanggan dilayan di aras bawah bagi bangunan milik SPRM dan pelanggan sentiasa diiringi semasa berada dalam premis berkenaan.

Manakala cadangan lain akan terus diteliti dan diambil tindakan penambahbaikan sewajarnya, kata kenyataan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan