Selangor Tunggu Pandangan Peguam Berhubung Hasil Siasatan RCI Terhadap Kematian Teoh

Diterbitkan: Sabtu, 23 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: Kerajaan Selangor akan mendapatkan pandangan peguam sebelum melaksanakan peranan lebih proaktif berhubung hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kematian pembantu politik Teoh Beng Hock, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Jumaat.

Beliau berkata kerajaan negeri menunggu pendapat peguamnya, Malik Imtiaz Sarwar, berikutan terbitan laporan RCI yang membuat kesimpulan bahawa Teoh membunuh diri dan terdesak melakukannya akibat soalsiasat yang agresif dan tanpa henti oleh beberapa orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC). "Suruhanjaya diraja itu telah menjalankan tugasnya, dan ada banyak isu teknikal yang perlu ditonjolkan agar jaminan dapat diberikan, terutama kepada rakyat Selangor, tentang betapa terperincinya hasil siasatan (RCI) ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu program dengan penduduk daerah Kuala Langat, dekat sini.

Teoh, setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai, 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat MACC Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

RCI ditubuhkan pada 26 Januari selepas Mahkamah Koroner menyampaikan keputusan terbuka dalam kes berkenaan.

Mengenai hal lain, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri Selangor sedang menjalankan misi tinjauan fakta berhubung satu arahan setiausaha kerajaan negeri bahawa petugas awam negeri hanya boleh disoalsiasat oleh MACC di pejabat mereka masing-masing.

"Kami dalam proses mendapatkan fakta dan berharap laporan sepenuhnya dapat disiapkan dalam seminggu," kata beliau.

Pekeliling berkenaan, ditandatangani oleh bekas setiausaha kerajaan negeri Datuk Ramli Mahmud, menyatakan, antara lain, bahawa exco negeri Selangor, pada mesyuarat Julai 2009, memutuskan bahawa semua petugas yang berkhidmat di bawah pentadbiran negeri tidak dibenarkan diinterbiu oleh pegawai-pegawai MACC di luar pejabat mereka, tetapi hanya di bangunan pejabat setiausaha kerajaan negeri.

Ia juga berkata semua pertemuan dengan pegawai-pegawai MACC mesti dibuat antara 8 pagi dan 6.30 ptg.

Pekeliling itu menyebut bahawa keputusan exco itu termasuk memberi khidmat guaman kepada petugas awam bila mereka disoalsiasat oleh pegawai MACC. Pekeliling itu digubal selepas kematian Teoh. – BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan