Hamad Kama Piah Terima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup

Diterbitkan: Sabtu, 23 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menerima "Lifetime Achievement Award" (Anugerah Pencapaian Seumur Hidup) pada majlis Anugerah Kepimpinan Global di sini malam Jumaat.

Hamad Kama Piah, yang mempunyai pengalaman 30 tahun di bidang pelaburan dan pengurusan unit amanah, membangunkan PNB dengan aset di bawah pengurusan meningkat berganda dari RM40.7 bilion pada Disember 1997 kepada hampir RM150 bilion, ketika ini.

Dua tokoh lain menerima kategori anugerah yang sama. Mereka ialah tokoh sukan legenda dunia Muhammad Ali dan Pengarah Urusan Kumpulan Oriental Holdings Berhad Datuk Robert Wong Lum Kong.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dianugerah 'Visionary CEO of the Year', dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Naza Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dianugerah 'Young Achiever of the Year'. Duta Pelancongan dan pereka kasut terkemuka dunia Prof Datuk Dr Jimmy Choo dan angkasawan pertama Malaysia Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor masing-masing menerima anugerah 'Fashion Icon of the Year' dan anugerah 'Special Achiever'.

Majlis itu dianjurkan oleh The Leaders International, sebuah majalah bisnes berprofil tinggi berpangkalan di Kuala Lumpur dengan pejabat di Dubai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan