Kebebasan Bersuara Bukan Lesen Memfitnah - Ahmad

Diterbitkan: Jumaat, 22 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Setiap penulis blog dan laman portal perlu bertanggungjawab terhadap laporan dan tulisan yang disiarkan kerana kebebasan bersuara bukan merupakan lesen untuk memfitnah, kata Pengerusi Sekretariat Media Baru Umno Perak Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Beliau berkata bahan-bahan yang disiarkan hendaklah berdasarkan maklumat dan fakta kerana sebarang serangan peribadi terhadap individu atau institusi boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

"Mereka tidak boleh lepas tangan terhadap apa jua yang ditulis itu," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Selasa lepas, seorang penulis blog, Amizudin Ahmat, diperintah oleh mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membayar ganti rugi RM300,000 kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana kesalahan memfitnah menteri itu.

Raja Ahmad Zainuddin, Anggota Dewan Undangabn Negeri Perak kawasan Kubu Gajah yang juga bekas wartawan, berkata setiap penulis blog, portal dan wartawan hendaklah memastikan tulisan yang disiarkan itu adalah betul, benar dan tidak berniat jahat.

Beliau berharap pembaca akhbar, blog dan portal agar menilai setiap bahan yang disiarkan supaya tidak terpengaruh dengan anasir yang cuba melemparkan fitnah dan menimbulkan perasaan kurang senang terhadap pihak lain. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan