Cuepacs Mahu Kerajaan Laksana Skim Insurans Nyawa Untuk Agensi Penguatkuasa

Diterbitkan: Jumaat, 22 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan melaksanakan pemberian skim insurans nyawa untuk penjawat awam yang berkhidmat di agensi penguatkuasaan undang-undang.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata ini bagi memastikan kebajikan mereka terbela sekiranya mereka ditimpa kemalangan atau mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas mereka yang sentiasa berdepan dengan pelbagai risiko.

"Sebab itu kita minta agar kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam menimbang untuk memberikan skim insurans nyawa kepada kakitangan di agensi pelaksana penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar/Bengkel Kepimpinan Generasi Muda anjuran Jawatankuasa Pendidikan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di sini, Jumaat.

Turut hadir Presiden Anulae, Azih Muda.

Omar mengulas insiden seorang penguatkuasa Majlis Daerah Hulu Selangor, G. Sivarajah, 24, yang patah kaki kirinya apabila dirempuh kenderaan milik seorang penjual durian yang tiba-tiba mengamuk apabila barangan jualannya dirampas dalam operasi sita semalam. Katanya ketika ini penjawat awam hanya mendapat pembelaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika mengalami kecacatan kekal ketika bertugas.

Beliau berkata Cuepacs memandang serius masalah berkenaan kerana bukan semua penjawat awam mempunyai gaji yang tinggi dan mampu membeli skim insurans nyawa untuk diri mereka.

"Ini satu pembelaan kepada kakitangan kerajaan seperti ini dan saya harap pihak kerajaan melalui JPA dan ketua jabatan masing-masing dapat bersama-sama Cuepacs untuk merealisasikan hasrat ini," katanya.

Sementara itu, katanya Cuepacs meminta JPA mengkaji semula gred jawatan pengarah agensi kerajaan di setiap negeri yang kini berbeza di mana ada antaranya berada di gred rendah dan tidak setaraf memegang jawatan yang mempunyai beban tugas tinggi itu.

"Mereka sekurang-kurangnya mesti bergred 54 iaitu JUSA C ke atas dan apa yang kita dapati ada pengarah itu bergred 48 dan terpaksa menggalas tugas yang besar," katanya.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam kerana siasatan mendapati tiada yang terbabit menyertai perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lepas.

"Ini membuktikan kakitangan kerajaan menyokong kepimpinan kerajaan yang ada dan menolak sebarang perhimpunan haram untuk menjatuhkan kerajaan sah yang dipilih melalui pilihan raya yang adil," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan