Bekalan Ayam, Kelapa Pada Bulan Ramadan Mencukupi - Noh

Diterbitkan: Jumaat, 22 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Agensi-agensi yang terbabit mengimport barangan makanan boleh mewujudkan stok penimbal ayam dan kelapa bagi memenuhi keperluan musim Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Katanya langkah itu juga penting untuk memastikan bekalan mencukupi dan tiada kenaikan harga yang boleh membebankan pengguna.

Noh berkata kelonggaran dan pengecualaian khas juga diberikan untuk mengimport kelapa bersabut dengan kawalan-kawalan tertentu bagi tempoh masa ini.

"Saya telahpun meminta agensi berkenaan mesti bersedia daripada sekarang buat stok penimbal ayam dan kelapa. Fama juga perlu membuat stok penimbal ayam.

"Dengan ini kita harap dapat memenuhi keperluan musim Ramadan," katanya pada sidang media mengenai kemenangan Mardi dalam Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) Ke-22 dan Anugerah Bank Pembangunan Islam bagi Sains dan Teknologi 2011 di ibu pejabat Mardi di sini, Jumaat.

Beliau juga meminta Fama agar menawarkan harga yang rendah sepanjang Ramadan melalui pasar tani di seluruh negara.

Menurutnya sebanyak 58 pasar tani tambahan turut dibuka sepanjang Ramadan ini bagi membolehkan pengguna membeli barangan keperluan dengan harga rendah.

Noh berkata 'Dasar Agro Makanan' bagi tempoh 10 tahun (2011-2020) akan dibentangakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat nanti.

Katanya dasar itu penting bagi menjamin bekalan makanan negara terus mencukupi dan selamat.

"Sekarang ini kita mengimport kelapa dari Indonesia untuk setahun, itu pun tidak cukup. Justeru Dasar Agro Makanan mengurangkan import dengan menggalakkan petani menanam pokok kelapa baru pada skala besar,"katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan