Polis Nafi Guna Gas Pemedih Mata Sama Dengan Israel

Diterbitkan: Khamis, 21 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Rabu menafikan dakwaan pembangkang bahawa pihaknya menggunakan gas pemedih mata yang sama digunakan tentera Israel ketika perhimpunan haram 9 Julai lepas.

”Jangan mengada-adakan cerita kita (polis) pakai gas CS (Combined Systems) atau apa saja. Kita tak sampai tahap itu. Jangan nak mengada-adakan cerita,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau yang ditemui selepas menyaksikan perlawanan ragbi Rujirawongse Cup antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP), mengulas mengenai laporan portal berita Keadilan Daily hari ini.

Antara lain, laporan itu yang memetik kenyataan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menggunakan kanister gas pemedih mata daripada jenis yang sama digunakan tentera Israel untuk memerangi rakyat Palestin.

Mengulas lanjut perkara itu, Khalid berkata, beliau akan meneliti laporan portal tersebut sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

"Mana mereka belajar semua ini? Saya minta semua pihak jangan cakap ikut sedap mulut. Kalau tak tau jangan cakap... kalau tak pasti jangan cakap. Jangan buat tuduhan-tuduhan,” katanya. – BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan