Pakatan Pembangkang Usaha Dekati Pengundi Luar Bandar - Berita Semasa | mStar

Pakatan Pembangkang Usaha Dekati Pengundi Luar Bandar

Diterbitkan: Khamis, 21 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) sedang merangka strategi untuk mendekati masyarakat di luar bandar sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Dalam permukiman tiga hari bermula Selasa lepas, pakatan pembangkang turut membincangkan mengenai kesan Perhimpunan Bersih 2.0 serta langkah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar mengenai apa yang berlaku pada 9 Julai lalu.

Ketua Publisiti DAP, Tony Pua berkata agenda utama yang dibincangkan adalah perjuangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya melaksanakan sistem pilihan raya yang adil dan telus terutamanya kepada masyarakat di luar bandar.

“Kami juga akan mengadakan sesi penerangan dengan masyarakat luar bandar mengenai tindakan serta kekerasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan Bersih baru-baru ini.

“Perkara ini penting kerana mereka perlu diberikan penerangan yang jelas supaya tidak terkeliru dengan apa yang dilaporkan oleh media pro-kerajaan,” katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Permukiman Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diadakan di sini bermula Selasa dan berakhir pada Khamis.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata PR turut mengenal pasti kelemahan dalam beberapa isu serta kaedah untuk mengukuhkan hubungan ketiga-tiga parti.

“Kami turut membincangkan strategi untuk mengelakkan salah faham dalam beberapa isu.

"PR juga perlu konsisten dalam membuat satu-satu keputusan yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan