Pakatan Pembangkang Tamatkan Pembahagian Kerusi Bulan Depan

Diterbitkan: Khamis, 21 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kepimpinan pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS akan menamatkan rundingan mereka berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen menjelang akhir bulan depan sambil mereka meningkatkan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam sesi pemukiman yang diadakan semalam, kepimpinan pakatan pembangkang menyuarakan keperluan supaya pembahagian kerusi itu dimuktamadkan secepat mungkin untuk mengelak daripada tercetus konflik antara ketiga-tiga parti terbabit.

"Kami sebenarnya tidak menjangkakan banyak masalah berhubung pembahagian kerusi. Sekiranya tiada persetujuan dicapai, kami boleh kembali semula kepada peruntukan kerusi sebelum ini yang menjadi garis panduan kepada kami.

"Bagaimanapun, kami mahu memberi sedikit ruang untuk perbincangan, terutamanya kerusi membabitkan YB yang telah berpaling tadah. Secara ideal, kami mahukannya (perbincangan mengenai kerusi) di peringkat DUN dan Parlimen diselesaikan menjelang akhir bulan depan," kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua.

PAS dan DAP dikatakan berminat dengan beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PKR dalam pilihan raya umum 2008 namun kemudian kehilangan kerusi itu setelah wakil rakyatnya keluar daripada parti.

Pada pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang memperoleh 82 kerusi Parlimen dengan PKR merupakan parti pembangkang terbesar di Parlimen setelah memenangi sejumlah 31 kerusi, DAP 28 dan PAS 23.

Daripada segi negeri, pakatan pembangkang berjaya menguasai lima negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan mengekalkan Kelantan.

Bagaimanapun, tujuh Anggota Parlimen daripada PKR memutuskan untuk keluar parti selepas pilihan raya itu dan menjadi wakil rakyat bebas manakala Barisan Nasional mengambil alih Perak setelah tiga Adun (dua daripada PKR dan seorang daripada DAP) keluar daripada parti masing-masing dan menjadi wakil rakyat bebas.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak yang diadakan baru-baru ini, PKR dan DAP bertelagah berhubung beberapa kerusi penting yang mengakibatkan pertikaian antara pemimpin kedua-dua parti mendapat liputan meluas media. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan