Tahan Ahli PSM: Polis Bertindak Ikut Undang-Undang

Diterbitkan: Rabu, 20 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis telah bertindak mengikut bidang kuasa mereka untuk menahan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas asas keselamatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata polis mempunyai hak untuk menggunakan sama ada Ordinan Darurat (EO) atau Kanun Keseksaan kerana enam suspek berkenaan disyaki cuba menghidupkan semula ideologi komunis yang telah diharamkan di Malaysia.

"Terserah kepada polis (untuk bertindak), kami tidak mempersoalkan apa yang mereka buat kerana ia membabitkan isu keselamatan," kata Mohamed Nazri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai program penggunaan tenaga efisien di bangunan mahkamah di sini, Selasa.

"Tidak salah untuk mereka (polis) mengambil tindakan di bawah EO atau undang-undang sedia ada. Itu pilihan mereka."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan sekumpulan anggota PSM pada bulan lepas mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan-bahan yang mengandungi elemen-elemen komunisme.

Enam daripada mereka kemudiannya ditahan semula pada 2 Julai mengikut EO sebaik dibebaskan.

Mohamed Nazri berkata walaupun EO digubal dan dikuatkuasakan sebagai langkah untuk membanteras pemberontakan komunis pada 1948 hingga 1960 dan juga semasa tempoh darurat singkat selepas rusuhan kaum 13 Mei, 1969, " ianya telah dikekalkan untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku."

Ini tidak bermakna bahawa walaupun "gencatan senjata dan darurat dah tamat, kita boleh terima komunisme," katanya.

Terdahulu, Mohamed Nazri diberikan taklimat mengenai keperluan melaksanakan langkah penggunaan tenaga secara efisien oleh KFM Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO).

Ketua Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Nurolamin Abas berkata dengan pelaksanaan langkah itu yang termasuk membina sistem automasi, sistem pendingin hawa berpusat, sistem pendingin hawa berasingan, amalan pencahayaan dan penyelenggaraan, kerajaan dapat menjimatkan RM45 juta dalam tempoh tujuh tahun daripada penggunaan tenaga di 10 bangunan mahkamahnya.

Ini berdasarkan kajian syarikat itu mengenai langkah penggunaan tenaga secara efisien di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 2009, dan berikutan pelaksanaan program itu pada tahun lepas di venue sama. "Hasilnya menunjukkan program itu berjaya mengurangkan penggunaan tenaga di kompleks itu sebanyak 11 peratus tahun lepas," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan