Negara Perlu Strategi Bio Pertahanan Untuk Kawal Ancaman Biologi

Diterbitkan: Rabu, 20 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan satu strategi biopertahanan bersepadu yang melibatkan pusat strategik dan kepimpinan operasi termasuk rancangan persediaan serta analisis makmal dari semasa ke semasa untuk menangani ancaman biologi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesiapsiagaan biopertahanan penting kerana ancaman biologi boleh berlaku di mana saja dan pada bila-bila masa.

Katanya, ancaman biologi merupakan isu keselamatan bukan saja di peringkat kebangsaan malahan antarabangsa.

"Oleh itu, semua negara perlu mengenalpasti kaedah, perancangan dan prosedur yang sesuai dalam melaksanakan strategi pertahanan ke atas sebarang kemungkinan atau serangan menggunakan senjata biologi," kata Najib pada Konvensyen Biokeselamatan dan Biosekuriti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Najib berkata, sistem bio pertahanan sains dan keupayaan tindak balas di negara ini masih ketinggalan jauh kerana Jabatan Kesihatan masih kekurangan vaksin dan rawatan terapeutik.

"Dalam perkara ini, tiga komponen utama meliputi vaksin, kajian dan tindak balas infrastruktur diperlukan untuk tindakan sewajarnya," ujarnya.

Jelas beliau, walaupun belum ada mana-mana negara yang menggunakan senjata biologi dalam peperangan sejak perang dunia kedua berakhir, terdapat beberapa kumpulan yang cuba melakukan serangan ke atas orang awam dengan senjata berbahaya itu.

Sementara itu, Najib memberitahu kerajaan telah menggubal satu rang undang-undang berkaitan senjata api untuk menyekat penggunaan senjata biologi dalam peperangan.

"Kami yakin penggubalan akta itu akan menjamin keselamatan negara dalam menangani isu berkaitan biologi," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan maklum balas berhubung biosekuriti, biokeselamatan dan biopertahanan daripada para delegasi yang hadir pada konvensyen itu untuk mempercepatkan pembangunan bioteknologi di negara ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan