Malaysia-Thailand Terus Kerjasama Akrab Di Sempadan

Diterbitkan: Rabu, 20 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Malaysia dan Thailand akan meneruskan kerjasama akrab dan meningkatkan usaha dengan semua kumpulan kerja bagi memelihara keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan.

Panglima Medan Tentera Darat Lt-Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata aktiviti bersama seperti operasi perang saraf, rondaan darat sempadan bersama serta penyelarasan pos sempadan akan dipertingkatkan.

"Mesyuarat juga telah mengambil perhatian terhadap tindakan semua tugasan yang menumpukan kepada pemantauan pembangunan sosio-ekonomi," katanya kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau ke-96 antara Malaysia dan Thailand, di sini, Selasa.

Mesyuarat dua kali setahun itu, yang diadakan secara timbal-balik, dipengerusikan bersama oleh Ahmad Hasbullah dan Panglima Markas Gerakan Keselamatan Dalam Negeri Wilayah ke-4, Lt-Jen Udomchai Thamsararorat.

Objektif mesyuarat itu adalah untuk menggalakkan kerjasama dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan sempadan dan menyelesaikan masalah bersama demi kepentingan bersama.

"Enam kumpulan kerja termasuk Operasi Perang Saraf dan Perisikan, Kumpulan Kerja Darat dan Kumpulan Kerja Bersama Tentera Laut dan Udara sedang melaksanakan semua tugas yang diberikan oleh mesyuarat itu," katanya.

Ahmad Hasbullah berkata salah satu kejayaan mesyuarat itu ialah penyelarasan rondaan antara tentera Malaysia dan Thailand yang diperkenalkan hampir lima tahun lalu.

Thailand akan menjadi hos mesyuarat itu Januari depan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan